Timbalan Presiden MIC M Saravanan hari ini meluahkan rasa hairan bagaimana surat rasmi bertarikh 24 Ogos yang menurutnya dihantar ke hampir semua saluran rasmi dan peribadi Anwar Ibrahim masih belum diterima perdana menteri itu.
Bercakap kepada Malaysiakini, bekas menteri sumber manusia itu berkata dia telah menghantar dokumen berhubung dakwaan penyelewengan skim pengambilan pekerja asing ke Pejabat Perdana Menteri (PMO), setiausaha politik, emel peribadi perdana menteri dan nombor WhatsApp peribadi Anwar sendiri.
"Saya terkejut dengan kenyataan perdana menteri yang berkata bahawa masih belum menerima surat.
"Untuk rekod saya hantar kepada PMO, kepada setiausaha politik perdana menteri, emel peribadi PM dan ke nombor peribadi perdana menteri.
"Malah, setiausaha politik sendiri membalas kepada saya bahawa dia terima surat.
"Jadi saya terkejut dan tengah berfikir apa lagi cara saya boleh gunakan untuk menyampaikan surat tersebut kepadanya. Takkan saya nak berbaris di depan pejabat atau rumah seperti zaman mendiang Tun Samy Vellu," katanya.
Saravanan mengulas kenyataan Anwar hari ini yang memberitahu pemberita di Seberang Jaya bahawa dia masih belum menerima sebarang surat daripada Saravanan.
Meskipun mendakwa belum membaca kandungannya, Anwar menegaskan dia tetap akan menyerahkan dokumen tersebut kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk diteliti.
"Daripada (surat) sampai ke situ (pihak berkuasa), bukan urusan saya. Saya akan rujuk kepada SPRM atau Jabatan Peguam Negara untuk mereka teliti," kata Anwar sambil meminta semua pihak memberi ruang kepada proses undang-undang.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan surat berkenaan memperincikan dakwaan Saravanan bahawa dua ahli perniagaan telah dipaksa untuk mengaitkan dirinya dalam kes pekerja asing, selain mendakwa pegawai siasatan pernah mengugut untuk menangkap isterinya.
Bukan minta 'payung', cuma mahu siasatan adil
Sementara itu, Ahli Parlimen Tapah itu menyatakan kesediaannya untuk menghantar semula dokumen tersebut.
"Apa pun dengan segala hormat kepada perdana menteri saya sedia hantar surat tersebut sekali lagi.
"Seperti saya kata sebelum ini, saya hantar surat bukan untuk tutup kes tetapi siasatan yang telus," katanya.
Sebelum ini, Saravanan menjelaskan, sebagai penyokong kerajaan Madani yang turut menyokong pelantikan Anwar, dia menganggap perdana menteri sebagai "bos" yang wajar dimaklumkan mengenai isu berkenaan perkara yang didakwanya telah dibangkitkan secara peribadi sejak enam bulan lalu.
Awal hari ini, Saravanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.097 juta berhubung kelulusan kuota pekerja asing bagi sebuah syarikat pada tahun 2022.
