Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MKT beri izin bersyarat Umno negeri bincang pelan pilihan raya
Diterbitkan:  Aug 29, 2026 8:48 AM
Dikemaskini: 1:06 AM

Umno malam tadi memberi kebenaran kepada kepimpinan parti di peringkat negeri untuk mengadakan perbincangan dan rundingan dengan parti-parti politik yang mahu bekerjasama menghadapi pilihan raya akan datang.

Ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang berlangsung di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Menurut Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, perbincangan dan rundingan itu bagaimanapun mestilah berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya melibatkat ugutan atau gertakan.

Ketetapan itu dilihat membuka ruang kepada Umno di peringkat negeri untuk meneroka bentuk kerjasama dengan parti politik lain menjelang pilihan raya akan datang.

Selain itu beberapa ketetapan lain turut disepakati dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.

Prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya

Menurut Asyraf Wajdi, kedaulatan undang-undang mesti sentiasa dihormati dan dijunjung oleh semua pihak.

“Justeru, seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah selagi belum didakwa, dibicarakan dan disabitkan kesalahannya oleh mahkamah yang mempunyai bidang kuasa,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat tersebut.

Dia yang juga Pengerusi Mara menambah, Umno menolak sebarang tindakan yang bertujuan memalukan atau mengaibkan seseorang, termasuk membentuk persepsi seolah-olah individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan sudah melakukan kesalahan.

Katanya tindakan sebegitu adalah bertentangan dengan prinsip keadilan, anggapan tidak bersalah serta semangat kedaulatan undang-undang.

Untuk rekod, kenyataan tersebut dibuat ketika beberapa ahli politik berprofil tinggi ditahan untuk membantu siasatan, atau didakwa di mahkamah.

Antaranya termasuk bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji, serta bekas menteri dari MIC, M Saravanan, yang didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.

Umno tidak akan pertahan salah laku

Dalam mesyuarat malam tadi juga, kata Asyraf Wajdi, Umno menegaskan pendirian parti itu tidak akan mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan atau penyimpangan yang dilakukan mana-mana pihak.

Ini termasuk jika ia membabitkan ahli atau kepimpinan parti yang, menurutnya, wajib dihadapkan ke muka pengadilan melalui proses undang-undang.

Sentimen Melayu dan penyatuan ummah

Kata Asyraf Wajdi lagi, dalam pertemuan itu MKT Umno mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal oleh agensi, penyelidik dan ahli akademik mengenai sentimen rakyat, khususnya orang Melayu.

Menurutnya dapatan itu menyatakan bahawa orang Melayu memang mengharapkan penyatuan ummah dapat direalisasikan dan pentingnya keindukan Melayu menjadi teras kepada kestabilan politik negara.

PAS dijemput ke Perhimpunan Agung

Dalam perkembangan berkaitan, MKT bersetuju memanjangkan jemputan rasmi kepada kepimpinan tertinggi PAS untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno tahun ini.

“Ia sebagai tanda penghormatan serta membalas jemputan yang telah diberikan kepada kepimpinan Umno untuk menghadiri Muktamar Tahunan PAS,” katanya.

Asyraf Wajdi turut memberitahu, sempena perhimpunan agung itu – yang berlangsung dari 9 hingga 12 Sept ini – ada tiga program utama akan diadakan sehari lebih awal.

Program itu, katanya, ialah Konvensyen Pendidikan Melayu 2026, Multaqa Ilmuan Islam Malaysia dan Laman Wanita Kreatif.

“Ketiga-tiga program ini terbuka untuk kehadiran orang awam,” katanya.

Mesyuarat tersebut turut menyaksikan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, mengangkat sumah sebagai anggota MKT Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS