WAWANCARA | Dilahirkan dengan saiz hanya sebesar dua telapak tangan orang dewasa dan usia kandungan sekadar tujuh bulan, siapa sangka selepas 15 tahun, bayi pramatang itu – Putri Aina Husna Mohd Subri – mampu bergelar penjaga gol skuad bola sepak wanita bawah 17 tahun (B17) kebangsaan.
Di sebalik kelincahan penjaga gawang yang menjadi tumpuan bersama rakan-rakan dalam aksi Piala Srikandi Merdeka baru-baru ini, tersimpan perjalanan awal yang dramatik dan terbukti kecekalan semangatnya.
Anak bongsu daripada tiga beradik hasil perkahwinan Mohd Subri Abdullah, 49, dan Rosliza Che Amat, 51, itu tampil dengan aksi yang mencuri tumpuan ramai sepanjang kejohanan di Indonesia.
Malah aksi Putri Aina turut menarik perhatian peminat bola sepak Indonesia yang menggelarkan dia sebagai Spider Girl.
Mengimbau kembali saat kelahiran Putri Aina di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Mohd Subri berkata, pada awalnya dia menyangka bayi itu sudah tiada ketika keluar dari rahim ibunya.
“Sebab dia lahir pramatang ketika usia tujuh bulan dalam kandungan. Saya fikir dia sudah tak ada (meninggal dunia).
“Apabila sampai di hospital ketika itu, doktor bagi saya tengok dia dalam wad. Saya masuk tengok dia dalam inkubator, saiznya sebesar dua tapak tangan saja,” katanya ketika ditemui selepas tampil bersama anaknya itu pada sesi audio siar KiniTV di Petaling Jaya, Khamis lalu.
Bagaimanapun Mohd Subri berkata, dia sekeluarga bersyukur kerana selepas detik itu, Putri Aina dapat membesar dengan baik, malah kemudian aktif dan lasak.
Cuma lihat abang beraksi
Ia terbukti apabila seawal usia lima tahun Putri Aina sudah berjinak-jinak dalam sukan tomoi atau muay thai.
“Putri Aina bermula dengan tomoi dan saya sempat terfikir nak hantar dia belajar atau berlatih di Thailand untuk memberi pendedahan kepada dia.
“Tetapi isteri saya larang dan saya akhirnya setuju. Selepas itu barulah Putri Aina mula terdedah dengan bola sepak.
“Kebetulan juga semasa itu saya pun aktif dengan bola sepak dan selalu bawa abang-abang dia ke padang untuk lawan bola,” katanya.
Di padang, tambah Mohd Subri, ketika anak lelakinya beraksi, dia melihat Putri Aina mengisi masanya dengan berjinak-jinak menendang bola.

Putri Aina sendiri mengakui pada detik awal jiwanya tidaklah begitu berminat dengan bola sepak, terutama apabila melihat ia lebih didominasi lelaki.
Namun pada masa sama kegiatannya dalam bidang tomoi tidak begitu digalakkan oleh ibunya kecuali hanya untuk mengisi masa lapang.
“Lepas tu ada sekali saya ikut abang-abang pergi latihan bola. Saya belum minat sangat dengan bola lagi.
“Hanya selepas saya ikut ayah pergi training, pergi (tengok) lawan bola, barulah saya rasa macam ada minat. Sejak itu kalau kebetulan ada di tepi padang, saya akan main bola,” katanya yang juga pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Utama.
Kuat tangan, kaki
Tidak mahu menoleh ke belakang lagi, Mohd Subri yang mengesan bakat dan potensi anaknya itu terus memupuk minat serta menyokong penuh penglibatan Putri Aina dengan latihan yang lebih intensif.
Ketika ruang dan peluang bagi kanak-kanak perempuan bermain bola sepak agak terhad, menurut si bapa, Putri Aina memulakan langkahnya bersama kelab UTP Kids di Universiti Teknologi Petronas (UTP) sebelum berpindah ke Akademi Tunas di Perak.
Jelasnya lagi, bermula dari situ dia tidak pernah berputus asa dengan memberi tumpuan sepenuh terhadap penglibatan Putri Aina dan rutin latihan bola sepaknya.

“Tetapi ketika itu dia bermain dengan pasukan kanak-kanak lelaki.
“Tetapi Putri Aina ini mempunya kekuatan tangan dan kaki justeru saya nampak posisi penjaga gol lebih sesuai dengan dia,” katanya lagi.
Menurut Mohd Subri dia membelikan sarung tangan dan diserahkan bersama kata-kata semangat. Walaupun baru berusia enam atau tujuh tahun ketika itu, katanya, Putri Aina memang lasak.
Pada masa sama, mereka memberikan sokongan secara berjemaah. Satu keluarga mendukung minat kanak-kanak berkenaan. Apabila ada perlawanan, mereka akan memastikan hadir di lokasi.
“Sebab dia masih kanak-kanak, perempuan pula,” jelas warden penjara di Batu Gajah, Perak itu.

Ditanya mengapa penjaga gawang menjadi pilihannya, Putri Aina menjelaskan, pada ketika itu tidak ramai pemain perempuan yang berminat dengan posisi berkenaan.
“Saya rasa macam banggalah, better saya jadi keeper daripada saya jadi striker,” katanya yang pernah meraih pengiktirafan sebagai penjaga gol terbaik dalam kejohanan yang disertai sejak berusia lapan tahun.
Dia yang kini beraksi bersama kelab KL Havana FC turut menegaskan betapa keberanian adalah ‘bekal’ utama sebagai seorang penjaga gol yang baik.
Putri Aina berkata rasa takut tetap ada apabila bola datang tepat ke arahnya, tetapi sedar bahawa seorang penjaga gol perlu berani menghadapi apa saja situasi demi memastikan kubu pasukan tidak ditembusi.
“Macam mana pun kita kena pergi tutup (ruang) sebab itu (tugas) posisi keeper.
“Kening terbelah ke apa, main juga. Sebab keeper ni memang betul-betul kena lasak. Tak boleh takut,” katanya yang mengidolakan penjaga gol skuad wanita kebangsaan negara, Nurul Azurin Mazlan.
