Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar: Kuota Budi95 dinaikkan semula kepada 300 liter sebulan
Diterbitkan:  Aug 30, 2026 4:06 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Kerajaan menaikkan semula kuota subsidi petrol Budi Madani (Budi95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, berkuat kuasa 1 September ini.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat sempena sambutan Hari Kebangsaan hari ini.

Sementara itu, kuota bagi penerima Budi Diesel turut dinaikkan daripada 300 liter kepada 400 liter sebulan.

"Belanjawan 2027 akan dibentangkan dalam masa terdekat. Biasa saya jawab tunggu Belanjawan, tapi nampak rakyat tak mahu sabar, tak mahu tunggu. Menteri-menteri kata tekanan sara hidup tak boleh tunggu Oktober.

"Maka saya terpaksa ikhtiar cari jalan umum sesuatu yang boleh melegakan sementara, untuk anak-anak sekolah, suri rumah, ibu-ibu," katanya pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya hari ini.

Anwar berkata golongan M40 tidak dipinggirkan apabila mereka turut menerima manfaat menerusi kadar cukai pendapatan yang lebih rendah, bantuan awal persekolahan serta subsidi elektrik.

Selain itu Anwar turut mengumumkan peningkatan 50 peratus peruntukan penyelenggaraan sekolah bagi tahun hadapan, daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion.

Peruntukan itu meliputi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, institusi tahfiz dan pondok, serta kemudahan pendidikan khas.

"Saya turut arahkan Kementerian Pendidikan untuk mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah dan meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana oleh sekolah.

"Ini bagi memastikan kerja penyelenggaraan dapat dimulakan seawal Januari 2027,” katanya.

Anwar berkata, Program AI untuk Rakyat akan dibuka kepada anak muda Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun.

Menurutnya seramai 100,000 belia yang melengkapkan modul ditetapkan akan menerima langganan aplikasi AI terkemuka secara percuma selama tiga bulan merangkumi IlmuChat (AI tempatan), Gemini Enterprise (USA) serta Wonderclip dan MuleRun (China).

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menyediakan peruntukan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam.

Usaha itu meliputi pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik dan ketersambungan internet di 150 hospital serta lebih 2,000 klinik kesihatan awam.

Anwar turut mengumumkan ​bahawa kerajaan bersetuju menaikkan ambang pengecualian e-Invois sekali lagi, daripada RM1 juta kepada RM3 juta setahun.

"Dengan ini, perniagaan yang mencatat jualan tahunan tidak melebihi RM3 juta tidak diwajibkan melaksanakan e-Invois,” katanya.

Sementara itu kerajaan turut menambah kemudahan pembiayaan mikro RM1 bilion, menjadikan keseluruhan dana bagi 2026 meningkat daripada RM5 bilion kepada RM6 bilion.

Sebanyak RM200 juta lagi diperuntukkan menerusi Geran Sejahtera Madani bagi penjaja, peniaga kecil, peniaga pasar malam serta ibu yang meniaga dari rumah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS