Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pertikaian peruntukan tercetus antara kementerian Zahid dan Anwar
Diterbitkan:  Sep 3, 2026 11:26 AM
Dikemaskini: 4:02 AM

Pertikaian terbuka yang jarang berlaku antara kementerian berhubung peruntukan menjadi titik geseran terbaru dalam kerjasama antara PH dan BN.

Pertikaian itu bermula pada Isnin apabila Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kekecewaannya berhubung penyaluran peruntukan ketika perhimpunan bulanan kementeriannya.

Sambil menggesa Kementerian Kewangan mempercepatkan pembayaran, Ahmad Zahid yang juga presiden Umno berkata ramai kontraktor telah menyiapkan projek serta mencapai sasaran ditetapkan, namun mereka masih belum menerima bayaran.

Kata, Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri, sebahagian kontraktor terpaksa gulung tikar akibat masalah aliran tunai yang berpunca daripada kelewatan pembayaran.

“Kita tidak dapat membuat pembayaran kerana dana belum disalurkan. Namun, kita pula yang dipersalahkan,” katanya seperti dipetik New Straits Times.

Kementerian Kewangan, yang diterajui perdana menteri merangkap pengerusi PH, Anwar Ibrahim, bertanggungjawab terhadap penyaluran peruntukan.

Johan Mahmood Merican

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican bagaimanapun membalas kenyataan Zahid semalam dengan menegaskan tiada sekatan dikenakan terhadap peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi projek jalan luar bandar, yang katany, telah disalurkan sepenuhnya.

Johan turut menggambarkan KKDW sebagai kementerian yang secara konsisten berbelanja melebihi peruntukan, sambil berkata Kementerian Kewangan sedang mengenal pasti penjimatan kos di kementerian lain bagi membantu menampung lebihan perbelanjaan kementerian berkenaan.

“Masalah pembayaran kepada kontraktor timbul kerana peruntukan bagi tahun ini hampir sepenuhnya telah dibelanjakan.

“Sejak beberapa tahun lalu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah telah membuat komitmen dan berbelanja melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan bagi projek-projek luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan.

Dia berkata Kementerian Kewangan sedang bekerjasama dengan KKDW untuk menyelesaikan perkara itu, termasuk menyusun semula peruntukan serta menyediakan tambahan RM300 juta bagi menyelesaikan bayaran tertunggak kepada kontraktor.

Beberapa pemimpin politik lain turut mengulas pertikaian itu di media sosial.

Setiausaha politik Anwar dalam kapasiti sebagai menteri kewangan, Kamil Abdul Munim, berkongsi kenyataan media Johan dan mempersoalkan bagaimana peruntukan boleh mencukupi sekiranya kementerian Zahid berbelanja melebihi bajet.

“Jahanam negara macam ni,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh pula mengalihkan perhatian kepada sebuah lagi kementerian yang didakwa turut berbelanja melebihi peruntukan, iaitu Kementerian Pendidikan yang diterajui Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek.

“Ada yang menyebarkan naratif jahat bahawa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah telah berbelanja melebihi bajet. Adakah ini bermakna kementerian lain yang berbelanja melebihi bajet juga melakukan kesalahan?” soalnya.

Dr Akmal Saleh

Akmal menjelaskan bahawa perkara berkenaan boleh ditangani melalui peruntukan tambahan yang diluluskan setiap tahun, dan menteri tidak mempunyai kebebasan untuk berbelanja sesuka hati.

“Bagaimana anda boleh mentadbir negara dengan baik jika perkara sebegitu pun tidak difahami?” soalnya.

Sementara itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berkata projek jalan luar bandar menerima peruntukan RM2.107 bilion tahun ini, dengan 415 projek dilaksanakan membabitkan kos RM1.995 bilion setakat 1 September.

Kementerian itu menganggarkan ia memerlukan RM4 bilion setahun bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan berjalan mengikut perancangan.

“Situasi ini menunjukkan pelaksanaan projek secara aktif di seluruh negara serta keperluan untuk memastikan projek yang sedang berjalan diteruskan secara teratur sehingga siap,” katanya.

Fadzmel Fadzil

Dalam pada itu, setiausaha akhbar Zahid, Fadzmel Fadzil, tampil membidas kenyataan Kementerian Kewangan dengan lebih tegas, dan menyifatkannya sebagai tidak tepat serta mengelirukan.

Dia berkata prosedur kewangan kerajaan Persekutuan serta Sistem Perakaunan Pengurusan Kewangan Bersepadu Kerajaan secara ketat menghalang mana-mana kementerian daripada membelanjakan dana yang tidak diluluskan.

Selain itu, katanya, data peruntukan dan perbelanjaan yang dinyatakan dalam kenyataan Johan, yang meliputi tempoh bermula 2022, tidak mengambil kira tempoh penting antara 2019 hingga 2021.

Dalam tempoh berkenaan, Fadzmel berkata pelbagai projek telah ditandatangani tetapi kemudiannya tertangguh akibat pandemik Covid-19.

Apabila projek-projek yang tertangguh itu disambung semula, tuntutan kontraktor dibawa ke tahun-tahun belanjawan berikutnya, sekali gus mewujudkan obligasi undang-undang dan kontrak yang perlu dipenuhi kerajaan.

Dia turut menolak gambaran Kementerian Kewangan bahawa pelepasan RM300 juta itu merupakan “peruntukan tambahan”.

Sebaliknya, dia mendakwa jumlah berkenaan sebenarnya merupakan peruntukan yang sememangnya telah diluluskan dan sepatutnya dibayar, melalui Waran Perbelanjaan pada petang 1 September, tidak lama selepas Zahid membangkitkan isu tersebut.

Katanya, walaupun pihaknya menghargai penyaluran wang berkenaan, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk melunaskan semua komitmen tertunggak kepada kontraktor.

“Dalam keadaan ideal, perkara ini tidak sepatutnya menjadi pertikaian antara kementerian.

“Yang lebih penting adalah mencari penyelesaian segera terhadap komitmen perbelanjaan berkenaan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS