Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan sepenuhnya kepada presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dalam hal jemputan kepada pimpinan parti lain, termasuk PAS, untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2026 yang bermula 9 Sept ini.
Dia berkata, perkara berkaitan jemputan kepada PAS perlu ditanya kepada Ahmad Zahid.
"Itu kena tanya presidenlah... saya tak tahu, tapi belum tahu lagi (mengenai jemputan)," katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan Umno menjemput pimpinan PAS pada PAU 2026.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh hadir ke Muktamar Dewan Pemuda PAS sempena Muktamar PAS Ke-72 di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan, hari ini.
Ditanya mengenai antara usul bakal dibawa perwakilan dari Pahang pada PAU 2026, Wan Rosdy berkata perkara itu sedang diperhalusi.
"Kita sedang mengenal pasti jurucakap dari Pahang... mengenai usul, mengenai perkara yang menguntungkan parti, memberi semangat kepada ahli Umno, untuk Barisan Nasional," jelasnya.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang ditembui pemberita ketika dia merasmikan Persimpangan Bertingkat Pelabuhan Kuantan, kira-kira 10 kilometer dari kawasan perindustrian Gebeng, dekat Kuantan.
Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Ekonomi, Mohd Shahar Abdullah.
Mengulas mengenai persimpangan yang baru dirasmikan itu, dia berkata, ia dijangka memberi nilai tambah kepada kawasan perindustrian Gebeng.
"Di kawasan ini pun kita akan bangunan bandar aeroangkasa dan begitu juga projek pembesaran Pelabuhan Kuantan, selain rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang akan beroperasi awal tahun depan," jelasnya.
Sementara itu, Ahmad Maslan berkata, persimpangan bertingkat itu akan mula beroperasi dan dibuka kepada semua pengguna lebuh raya bermula jam 6 pagi esok.
Katanya, laluan itu membabitkan jajaran sepanjang 11.5 kilometer yang merangkumi 10.1 kilometer di Pahang dan 1.4 kilometer di Terengganu.
"Projek ini dilaksanakan secara berfasa melalui lima pakej utama dengan kos keseluruhan RM400 juta. Persimpangan bertingkat ini pula disiapkan dengan kos RM146 juta," katanya.
