Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Percubaan SPM beri soalan tentang PRU15, sesuai atau tidak?
2

Soalan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri Perlis baru-baru ini menimbulkan persoalan apabila menggunakan keputusan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) lalu sebagai bahan ujian.

Berdasarkan kertas soalan subjek sejarah yang dilihat Malaysiakini, soalan dikemukakan mengetengahkan jumlah kerusi dimenangi parti politik iaitu PH, PN, BN, GPS, GRS, Warisan dan Bebas dalam PRU-15.

Empat markah diperuntukkan untuk markah penuh bagi soalan subjek Sejarah Kertas 2 (esei) itu.

Soalan berbentuk jadual itu meminta supaya pelajar memberi ulasan berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi parti berkenaan.

Soalan berkenaan ditimbulkan pada peperiksaan yang berlangsung pada 29 Jul lalu melibatkan keseluruhan kira-kira 30 sekolah menengah di Perlis.

Soalan itu digunakan bagi Program Gempur Kecemerlangan SPM Negeri Perlis anjuran bersama Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Negeri Perlis.

Menjadi persoalan, bagaimana kemenangan parti politik di negara ini boleh dijadikan soalan khusus peperiksaan kerana ia tidak berkait silibus subjek Sejarah.

Silibus sejarah tingkatan lima hanya membincangkan tentang kenegaraan, kedaulatan dan Perlembagaan Persekutuan tidak membabitkan politik kepartian.

Di media sosial, rata-rata warganet khususnya pelajar kurang senang dengan soalan berkenaan yang bagi mereka satu kejutan kerana ia tidak ada dalam silibus pembelajaran.

Bahkan ada yang berpendapat ia umpama soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (Kbat).

Bagaimanapun ada juga yang berpandangan soalan berkenaan kena pada masanya untuk mendedahkan pelajar dengan politik memandang pengundian bermula pada usia 18 tahun.

Terlalu awal, kata pakar sejarah

Mengulas perkara itu, beberapa ahli akademik menyifatkan penggunaan nama parti politik seperti PH, BN dan PN dalam soalan percubaan SPM itu tidak sepatutnya berlaku.

Ahli akademik berpandangan faktor usia pelajar menjadikan ia masih terlalu awal untuk mendedahkan mereka dengan politik kepartian dalam pendidikan formal di sekolah.

Pakar sejarah, Suffian Mansor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpandangan penggunaan nama parti politik bagi soalan peperiksaan adalah tidak sesuai.

"Kalau peringkat SPM itu tak patut. Penting untuk memperkenal negara bangsa. Kalau menyentuh perdana menteri dari parti mana itu peringkat lebih tinggi.

"Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pun saya rasa masih belajar asas lagi. Bagi saya soalan sebegitu sesuai di peringkat universiti bagi subjek Sains Politik atau Sejarah.

"Bagi SPM saya rasa boleh bagi bab memperkenalkan pembentukan negara, kerjasama kaum. Sebab kalau membabitkan parti politik pelajar pun pening kepala," katanya kepada Malaysiakini.

‘Tak akan keluar dalam peperiksaan sebenar’

Tokoh akademik, Alimuddin Mohd Dom pula berpendapat soalan sebegitu tidak perlu kerana sepanjang pengalamannya ia tidak akan dimasukkan dalam peperiksaan sebenar.

Menurut bekas ketua pengarah Jabatan Pendidikan itu, soalan sebegitu sepatutnya dielakkan.

"Dari segi akademik soalan sebegitu tak ada. Soalan sebegini tak akan berlaku dalam peperiksaan sebenar, tak mungkin keluar sebiji macam tu dalam peperiksaan.

"Seeloknya nama parti jangan sebut, kalau nak guna juga parti, sebut parti A ke, parti B. Jangan guna nama parti yang betul," katanya.

Alimuddin turut menasihat penggubal soalan supaya tidak menggunakan eleman yang boleh mencetuskan kontroversi.

"(Sebaliknya) soalan itu boleh menyentuh tentang pembentukan negara misalnya, kena faham tentang bagaimana negara itu dibina atau pengenalan tentang apa itu pilihan raya," tambahnya lagi.

Kena peka, kata PIBG Nasional

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu lebih peka dalam perkara ini.

Katanya, ia bukan sahaja sensitif, malah mendidik pelajar agar memihak kepada kelompok tertentu.

"Saya harap KPM atau jabatan pendidikan perlu berhati-hati dengan soalan sensitif sebegini. Mungkin ada orang dia kata sesuai, ada yang kata sesuai mungkin akan pecah belahkan warga negara kita.

Mohamad Ali Hasan

"Perkara ini patut berhati-hati agar tidak menyentuh parti politik. Tak salah masukkan tentang kesedaran dan pengetahuan tentang politik, tapi mengenai parti-parti Malaysia perlu diperhalusi," katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat dan telah menghantar e-mel kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perlis untuk mendapat penjelasan lanjut serta sedang berusaha mendapatkan respons Majlis Pengetua Sekolah Malaysia Negeri Perlis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS