Mahkamah Rayuan membenarkan bekas perdana menteri Najib Razak dan anaknya, Nazifuddin, menangguhkan prosiding kebankrapan berhubung tunggakan cukai berjumlah RM1.69 bilion.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Alwi Abdul Wahab sebulat suara membenarkan rayuan mereka selepas memutuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terkhilaf apabila enggan membenarkan penangguhan prosiding pada 17 Nov tahun lalu.

Keputusan itu bermakna Najib dan Nazifuddin boleh menangguhkan prosiding kebankrapan berkenaan sehingga rayuan mereka di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) selesai diputuskan.

Panel hari ini mengakui rayuan dua beranak itu di hadapan PKCP membangkitkan isu serius dan substantif.

“Dengan hormatnya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan isu-isu ini dan gagal menanganinya atau memberikan pertimbangan sewajarnya ketika memutuskan sama ada alasan mencukupi bagi penangguhan telah dibuktikan.

“Sebaliknya, rayuan itu diputuskan sekadar berdasarkan prinsip umum ‘bayar dahulu, pertikai kemudian’ tanpa memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap prinsip undang-undang mantap bahawa budi bicara untuk membenarkan penangguhan wujud bagi mencegah ketidakadilan.

“Walaupun kami menerima hujah bahawa merit sesuatu rayuan semata-mata tidak menjadi alasan mencukupi untuk mewajarkan penangguhan, kerumitan, kebaharuan dan keseriusan isu undang-undang yang dibangkitkan perayu dalam kes ini sewajarnya boleh membenarkan mahkamah menggunakan budi bicaranya untuk menangguhkan prosiding,” katanya.

Turut bersidang bersama Alwi pagi ini ialah Hakim Shahnaz Sulaiman dan Ong Chee Kwan.

Panel itu memutuskan mudarat besar akan berlaku jika prosiding kebankrapan diteruskan sehingga ke peringkat pengeluaran perintah kebankrapan.

“Perintah sedemikian akan melumpuhkan keupayaan perayu untuk meneruskan rayuannya di hadapan PKCP, sekali gus menjadikan hak statutori perayu tidak bermakna.

“Kami berpandangan kemudaratan yang berlaku tidak dapat diperbetulkan atau dipulihkan secukupnya menerusi pembayaran balik kemudian sekiranya PKCP akhirnya menilai semula dan melaraskan taksiran itu memihak kepada perayu.”

Panel itu turut mengenal pasti isu baru berhubung pertindihan antara dana yang dikenakan taksiran cukai tambahan dengan dana yang menjadi asas pertuduhan jenayah terhadap Najib.

Perkara itu menimbulkan persoalan sama ada hasil yang didakwa diperoleh secara menyalahi undang-undang boleh pada masa sama dikenakan cukai sebagai pendapatan sah.

Dalam penghakiman mereka, hakim-hakim mengambil maklum secara kehakiman mengenai pelbagai prosiding jenayah dan sivil membabitkan Najib.

Panel memutuskan pengeluaran notis kebankrapan akan menyebabkan prosiding tersebut ditangguhkan secara automatik, sekali gus berpotensi mengganggu pentadbiran keadilan dengan menyebabkan kelewatan lanjut.

Panel mengikat keputusan bagi rayuan Najib dengan rayuan Nazifuddin berdasarkan persetujuan awal pihak-pihak berkenaan dan memberikan kos RM30,000 bagi setiap rayuan.

Kerajaan saman Najib

Pada Jun 2019, kerajaan menerusi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut lebih RM1.69 bilion daripada bekas perdana menteri itu.

Kerajaan turut menuntut faedah tahunan lima peratus bermula dari tarikh penghakiman, selain kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan berkata Najib gagal membayar cukai pendapatannya bagi tempoh 2011 hingga 2017 dalam tempoh 30 hari yang ditetapkan selepas notis taksiran dikeluarkan.

Pada 22 Julai 2022, LHDN berjaya memperoleh penghakiman terus daripada Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan semula RM1.69 bilion daripada Najib.

Mahkamah Persekutuan pada 16 Okt 2023 menolak rayuan Najib dan Nazifuddin untuk mengetepikan penghakiman terus itu.

Keputusan tersebut bermakna mereka perlu menjelaskan tunggakan cukai dan penalti masing-masing sebanyak RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.