Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS mahu pertahan SG4, sasar Pahang, Perak dan S'gor
2

MUKTAMAR PAS | PAS bertekad mempertahankan semua kerusi yang dimenanginya, selain menyasarkan untuk memperluas kemenangan ke Pahang, Perak dan Selangor.

Presidennya Abdul Hadi Awang berkata setiap kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen yang dimenangi PAS pada PRU ke-15 wajib dipertahankan.

Katanya, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, yang membentuk SG4, merupakan “negeri pangkalan” yang mesti terus dipertahankan, diperkukuh pentadbirannya serta dilaksanakan agenda Islam mengikut bidang kuasa negeri.

"Segala pencapaian dan prestasi cemerlang yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri hendaklah disampaikan kepada rakyat dan pengundi melalui mesej yang jelas dan cepat, terutamanya menangkis serangan fitnah yang dilemparkan serta mengutamakan penyelesaian terhadap isu-isu yang berkaitan dengan kebajikan rakyat," katanya.

Dia berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden bertemakan “Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan” sempena Muktamar PAS Pusat ke-72 di Kota Bharu hari ini.

Abdul Hadi turut menggariskan matlamat parti itu untuk memperluas kemenangan ke negeri-negeri lain yang disasarkan.

Ahli Parlimen Marang itu berkata PAS bersyukur atas kejayaan melahirkan “anak sulung” parti berkenaan di Sabah, selain menambah bilangan kerusi dan memperluas pengaruhnya di Negeri Sembilan.

"PAS menginsafi besarnya tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat. Keutamaan PAS ialah mengisi kemenangan melalui agenda berkebajikan, berintegriti dan adil kepada semua.

"Maka, kemenangan seterusnya akan disumbangkan oleh Pahang, Perak dan Selangor, sekali gus memperkukuh kerusi PAS dan PN di peringkat Parlimen, di samping melonjakkan pencapaian di Melaka yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata PAS berhasrat memimpin agenda penyatuan ummah dengan mengambil langkah politik secara berhikmah bagi menyatukan orang Melayu-Islam serta masyarakat bukan Islam yang tidak ekstrem di negara ini.

Tegasnya, PAS berpegang pada Islam dan tidak pernah mengkhianati sesiapa dalam mana-mana perjanjian. Katanya, PAS membuat mahupun membatalkan sesuatu perjanjian berdasarkan hukum Islam.

"Perpaduan umat Islam mesti terus diperkukuh kerana perpecahan hanya melemahkan kemampuan umat menjaga agama, rakyat dan negara.

“Pada masa sama, perpaduan ummah tidak bererti menafikan hak masyarakat bukan Islam.

"Usaha memperkukuh perpaduan umat hendaklah berjalan bersama jaminan keadilan kepada masyarakat bukan Islam dan penghormatan kepada kebebasan beragama dalam kerangka Perlembagaan.

"PAS bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam perkara yang membawa kebaikan kepada negara tanpa menggadaikan dasar dan prinsip perjuangan.

“Usaha penyatuan ini bukan sekadar di peringkat nasional, bahkan turut disambut di peringkat negeri, kawasan dan cawangan-cawangan."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS