Presiden PAS Abdul Hadi Awang menuduh kerajaan mengambil tindakan secara terpilih dalam usaha membanteras rasuah.
Ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Muktamar PAS Pusat di Kota Bharu hari ini, Abdul Hadi mendakwa isu rasuah di Malaysia digunakan bagi memburukkan lawan politiknya manakala sekutu pihak berkuasa pula didakwa terlepas daripada tuntutan keadilan.
“Malangnya di Malaysia, isu rasuah sering dijadikan modal politik untuk menjatuhkan lawan, bukan sebagai kemungkaran yang wajib dicegah.
“Keadaan ini berlaku apabila tindakan diambil secara terpilih terhadap pihak lawan, sedangkan salah laku dalam kalangan sendiri dibiarkan, sama ada melibatkan penerima rasuah, pemberi rasuah mahupun perantara yang mengatur urusan rasuah,” kata ahli parlimen Marang itu.

Walaupun tidak menamakan mana-mana individu, Abdul Hadi membangkitkan kelewatan penerbitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji sebagai contoh isu yang digunakan ketika kempen pilihan raya bagi mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap pihak yang dikaitkan dengannya.
“Tidak dinafikan berlakunya kepincangan dalam pengurusan dana awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang amat kita kesali, dan perlu dibawa ke mahkamah apabila cukup bukti, bukannya dibicarakan di media ataupun di pentas politik, apatah lagi menjadi bahan kempen pilihan raya untuk mencipta persepsi buruk seperti isu RCI Tabung Haji,” katanya.
Laporan RCI berhubung Tabung Haji, yang disiapkan pada 2022, diterbitkan ketika tempoh kempen pilihan raya Negeri Sembilan pada 1 Ogos.
Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli sebelum ini menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim melengahkan penerbitan laporan itu bagi menjaga hubungan dengan Umno, sekutu dalam kerajaan perpaduan.

Rafizi mendakwa hasil siasatan RCI itu akan mendedahkan kegagalan Umno menguruskan dana jemaah haji berkenaan.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata kerajaan menangguhkan penerbitan laporan RCI berhubung Tabung Haji bagi memberi masa kepada institusi itu untuk pulih terlebih dahulu.
Semalam, Ahli Parlimen DAP RSN Rayer menegaskan kerajaan perlu menggunakan piawaian sama terhadap sekutu mahupun lawan politik dalam usaha terbarunya membanteras rasuah.
Dia berkata demikian ketika menggesa peguam negara menyemak semula keputusan menghentikan 47 pertuduhan rasuah terhadap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhubung Yayasan Akalbudi.

Sementara itu, Abdul Hadi hari ini turut mendakwa kedudukan Islam dan umatnya berada dalam keadaan “paling berbahaya” di bawah pentadbiran Pengerusi PH Anwar Ibrahim kerana kerajaan presiden PKR itu “dikuasai oleh kumpulan bukan Islam”.
Dengan mendakwa keadaan itu mengancam maqasid al-syari‘ah, Abdul Hadi berkata tindakan untuk menolak kemudaratan besar mesti diutamakan.
“Lebih membimbangkan, kedudukan Islam dan umatnya berada dalam keadaan paling berbahaya apabila berada dalam pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai oleh kumpulan bukan Islam dan menjadi ancaman kepada maqasid al-syari‘ah. Maka, tindakan bertujuan menolak kemudaratan yang besar hendaklah diutamakan.
“Menolak keburukan yang banyak lebih diutamakan daripada menarik kemaslahatan.

“Kaedah ini merupakan satu pendekatan daripada fiqah Islam, siasah syar‘iyyah (pengurusan atau tadbir urus pelaksanaan syariat), dan maqasid al-syari‘ah (hikmah atau tujuan hukum syariat), yang termasuk dalam aspek tafaqquh (pemahaman yang betul) daripada urusan al-din (Islam).
“Apabila menghadapi bahaya yang lebih besar dan akibatnya yang lebih parah, maka hendaklah mendahulukan langkah penolakan bahaya tersebut,” katanya.
