Jerebu: Hanya Kangar dan Langkawi catat udara baik
Hanya dua daripada 68 stesen Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara mencatatkan kualiti udara baik pagi ini, ketika jerebu akibat pembakaran terbuka di Kalimantan dan Sumatra menyelubungi sebahagian besar Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Menurut laman web Sistem Pengurusan Kualiti Alam Sekitar (MyEQMS) Jabatan Alam Sekitar, hanya stesen di Langkawi, Kedah dan Kangar, Perlis mencatatkan bacaan IPU di bawah 50 setakat jam 10.09 pagi.

Dua kawasan di Sarawak, iaitu Samarahan dan Serian, mencatatkan kualiti udara 'sangat tidak sihat' masing-masing pada bacaan 235 dan 211, manakala 10 lagi stesen di negeri itu menunjukkan kategori 'tidak sihat' selepas merekodkan IPU antara 146 dan 197.
Kawasan terbabit ialah Sarikei, Kuching, Sibu, Sri Aman, Mukah, Samalaju, Miri (dua stesen), Bintulu dan Limbang.
Turut mencatatkan kualiti udara 'tidak sihat' ialah 30 stesen di Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah, Johor, Melaka, Labuan, Pahang dan Pulau Pinang.
Sementara itu, 24 kawasan selebihnya menunjukkan kualiti udara sederhana dengan bacaan IPU antara 59 dan 98.

