Strategi BN rampas kubu PAS
Barisan Nasional (BN), khususnya Umno Kedah, kini berkerja keras untuk menarik sokongan tambahan sekurang-kurangnya 25 peratus pengundi dalam parlimen Pendang untuk merampas semula pada pilihanraya umum 8 Mac.
Kawasan ini mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) - Sungai Tiang dan Tokai.
Pada 2004, calon BN Suraya Yaacob dari Puteri Umno menang kerusi Sungai Tiang dengan majoriti 4,250 undi.
Suraya memperolehi 13,948 undi untuk menewaskan calon PAS, Abdul Mutalib Awang yang mendapatkan 9,698.
Manakala kerusi Tokai pula dimenangi oleh calon PAS Mohd Taulan Rasul dengan majoriti, 4,179 undi.
Beliau memperolehi 14,790 undi untuk menewaskan calon BN Samsuddin Tahir 10,611 undi.
Kerusi parlimen
Ekoran itu, calon PAS Dr Mohd Hayati Othman berjaya memenangi kerusi parlimen Pendang, dengan menewaskan calon BN Datuk Paduka Md Rozai Shafian dengan 50 undi sahaja.
Kedah mempunyai 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN untuk dipertandingkan dalam pilihanraya umum kali ini.
Pendang merupakan kerusi Parlimen tunggal dimenangi PAS di Kedah, selain lima DUN, iaitu Belantek, Anak Bukit, Tokai, Bukit Pinang dan Sungai Limau.
Dr Hayati akan mempertahankan kerusi parlimen Pendang dan sekali lagi akan berdepan dengan Md Rozai.
Manakala Suraya dan Mohd Taulan juga akan bertanding mengekalkan kerusi masing-masing.
Sumber-sumber Umno negeri mengakui DUN Tokai merupakan kubu kuat PAS dan pihaknya tidak yakin dapat merampasnya kali ini.
"Tetapi jika dapat menarik 25 peratus lagi sokongan pengundi di Tokai, kita yakin dapat merampas semula parlimen Pendang. Itulah strategi kita kali ini," kata sumber itu kepada Malaysiakini .
Tambahan pengundi
Sumber-sumber itu berkata, harapan untuk BN menang di Pendang agak cerah ekoran pertambahan pengundi seramai 2,502 pengundi baru di DUN Tokai.
Terdapat 29,254 pengundi di DUN Tokai dalam pilihanraya 2004. Kini jumlah pengundi situ telah bertambah kepada 31,756 orang.
"Kita tidak menjangka boleh merampas Tokai kerana ia kubu kuat PAS, tetapi penambahan 25 peratus undi untuk BN akan membantu kita merampas semula Pendang," katanya.
Menurut mereka, perkiraan itu juga berdasarkan jangkaan jumlah undi yang akan diperolehi BN di DUN Sungai Tiang bertambah.
Jumlah pengundi di DUN Sungai Tiang bertambah seramai 2,910 - daripada 27,926 orang pada 2004 kepada 30,836 pengundi dalam pilihanraya umum kali ini.
Sumber-sumber itu berkata, sekiranya BN gagal mendapat tambahan 25 peratus di DUN Tokai, jangkaan penambahan sokongan di DUN Sungai Tiang, juga memungkinkan BN merampas parlimen itu.
Penyandang pertama kali bertanding di kawasan Pendang dalam pilihanraya kecil selepas kematian presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor pada 2002.
Bagaimanapun Mohd Hayati tewas pada calon lama Datuk Othman Abdul, pemegang kerusi ini sejak 1982, dengan majoriti kecil, 283 undi.
Fadzil sewaktu mengalahkan Othman pada 1999 meraih 2,939 undi.

