Umno di belakang calon MIC
MIC mampu mengekalkan sebahagian besar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parlimen yang ditandinginya walaupun pengundi India dijangka beralih kepada calon-calon pembangkang pada pilihanraya umum 8 Mac ini, kata bekas timbalan presiden MIC, Datuk S Subramaniam.
Katanya, walaupun wujud rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat India terhadap MIC, ekoran isu Pasukan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) yang mendakwa kaum tersebut didiskriminasi dan dipinggirkan, tetapi calon-calon parti itu bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN).
Ini bermakna, tambahnya, calon-calon MIC masih mendapat sokongan pengundi-pengundi daripada parti komponen BN lain, khususnya Umno, walau pengundi India memihak kepada pembangkang.
"Dan ini akan memastikan kemenangan calon-calon MIC dalam pilihanraya umum kali ini," kata Subramaniam dalam satu temubual dengan Malaysiakini hari ini.
Subramaniam berkata, persefahaman tersebut sudah lama wujud antara parti-parti komponen BN.
"Sekiranya calon MIC kurang mendapat sokongan dari kalangan pengundi India, mereka masih boleh menang atas sokongan penyokong parti komponen BN yang lain," katanya.
Di kebanyakan kerusi MIC, peratusan pengundi Melayu melebihi separuh dan mereka diramalkan memilih calon BN berbanding pengundi Cina dan India yang disebut-sebut kecewa dengan parti pemerintah itu.
Subramaniam menjangka amalan ini akan berterusan dalam pilihanraya umum kali ini.
Bagaimanapun, beliau bersetuju bahawa isu-isu yang dibangkitkan oleh Hindraf akan mempunyai dampak ke atas pengundi India dan mengubah senario sokongan mereka terhadap parti-parti komponen BN, khususnya MIC.
Namun, beliau mengulangi keyakinannya bahawa sokongan parti-parti komponen BN lain akan memenangkan calon-calon MIC.
Subramaniam juga berkata, beliau akan membantu calon-calon BN yang bertanding kali ini.
"Saya akan membantu calon-calon BN yang memerlukan sokongan saya," katanya.
Selain itu, katanya, beliau juga akan memilih kawasan-kawasan yang sesuai untuk turun membantu calon-calon sepanjang tempoh berkempen hingga tengah malam 7 Mac ini.
Esok: Datuk S Subramaniam menjawab mengapa tidak bertanding.

