Pengurus p'raya buat laporan polis
Pengurus pilihanraya bagi Parlimen Kulim-Bandar Baru, Mat Non Ahmad telah membuat laporan polis terhadap calon PKR bagi kerusi tersebut kerana tidak memenuhi syarat-syarat untuk menjadi seorang calon dalam pilihanraya 8 Mac depan.
Pengurus pilihanraya bagi Parlimen Kulim-Bandar Baru, Mat Non Ahmad telah membuat laporan polis terhadap calon PKR bagi kerusi tersebut kerana tidak memenuhi syarat-syarat untuk menjadi seorang calon dalam pilihanraya 8 Mac depan.
Laporan tersebut dibuat terhadap calon PKR, Zulkifli Nordin di balai polis Serdang di daerah Bandar Baru pada 28 Februari lalu.
Menurut salinannya, yang diperolehi Malaysiakini , laporan tersebut dibuat terhadap calon PKR itu kerana tidak mengemukakan penyata perbelanjaan pilihanraya 2004 kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). [Klik untuk baca laporan tersebut]
Dalam laporan itu, Mat Non menyatakan ia menyalahi peraturan pilihanraya.
Katanya, beliau telah dimaklumkan oleh SPR negeri pada 27 Februari lalu mengenai perkara tersebut.
Menurut laporan tersebut, Mat Non menyatakan, Zulkifli telah menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9 pagi hingga 10 pagi 24 Februari lalu, berserta lain-lain dokumen termasuk borang akuan yang menyatakan bahawa ia tidak menyalahi mana-mana undang-undang pilihanraya.
Menurutnya, selaku pegawai pengurus pilihanraya kawasan parlimen tersebut, beliau telah menerima borang berkenaan dan telah mempamerkannya untuk bantahan dari jam 10 pagi hingga 11 pagi 24 Februari lalu.
Mat Non berkata dalam laporan tersebut bahawa tiada sebararang bantahan diterima sepanjang tempoh berkenaan.
Jawapan SMS
Oleh itu, katanya, tempat jam 11.15 pagi 24 Februari lalu, beliau telah mengumumkan calon-calon yang layak bertanding termasuk Zulkifli dari PKR.
Bagaimanapun, katanya beliau telah dimaklumkan oleh SPR negeri pada pagi 27 Februari bahawa Zulkifli tidak memenuhi syarat-syarat untuk menjadi seorang calon kerana tidak mengemukakan penyata perbelanjaan pilihanraya 2004 kepada pihak SPR dan ia menyalahi peraturan pilihanraya.
Berdasarkan kepada nombor telefon yang terdapat dalam laporan polis tersebut, Malaysiakini telah menghubungi Mat Non untuk bertanya mengenai laporan tersebut.
Bagaimanapun, panggilan tersebut tidak berjawab. Malaysiakini kemudiannya menghantar soalan melalui SMS kepada nombor telefon berkenaan.
Sejurus kemudian, Malaysiakini menerima jawapannya, juga melalui SMS yang berbunyi: "Terima kasih, tuan boleh rujuk SPR ibupejabat Putrajaya."
Sebelum ini, dua aduan berasingan telah dibuat oleh dua pengundi di kawasan Parlimen tersebut - kepada polis dan SPR - mendakwa calon PKR itu tidak menghantar penyata perbelanjaan pilihanraya lalu dan boleh membawa risiko digugurkan sebagai calon.
Zulkifli bagaimanapun menafikannya dan menyifatkan desas-desus itu sebagai permainan politik lawannya.
Peguam itu, pernah terlibat dalam pasukan pembelaan Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberitahu Malaysiakini hari ini bahawa isu itu sengaja disebarkan untuk memberikan tekanan kepadanya agar menarik diri.

