Jangan ikut emosi, kata Samy
Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu meminta masyarakat India supaya tidak membiarkan emosi menguasai pemikiran mereka ketika mengundi Sabtu ini.
Beliau berkata ini kerana dengan mengikut emosi dengan memberi sokongan kepada parti pembangkang akan hanya menggadai masa depan mereka serta anak-anak mereka sendiri.
"Dengan menidakkan calon-calon MIC pada pilihan raya Sabtu ini akan lenyaplah suara masyarakat India di peringkat kerajaan negeri dan persekutuan (Jemaah Menteri).
"Dengan demikian, maka segala masalah yang dihadapi masyarakat India tidak akan mendapat perhatian dan pembelaan," katanya dalam satu kenyataan menjelang hari mengundi Sabtu ini.
Sehubungan itu, Bernama memetik beliau sebagai meminta masyarakat India supaya menilai prestasi MIC selama ini dalam kerajaan.
"Sebagai manusia, kita juga mempunyai kelemahan...tetapi ia boleh diatasi jika kita mengakui kelemahan kita dan mengambil langkah-langkah untuk memperbetulkannya.
"Fikirkanlah apa akan terjadi jika calon-calon MIC tidak dipilih dalam pilihanraya ini. Masa depan masyarakat (India) terletak dalam tangan anda para pengundi kaum India. Oleh itu, berilah sokongan kepada calon-calon MIC dalam pilihanraya umum kali ini," katanya.
Dalam pada itu, Samy Vellu berkata beliau berpuas hati dengan sokongan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh masyarakat India, khususnya para pemilih berdaftar sepanjang berkempen sejak 24 Februari lalu.
"Saya sendiri telah memeriksa dan mendapat maklum balas daripada calon MIC yang bertanding di kesemua 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 9 kerusi Parlimen (termasuk kerusi Parlimen Sungai Siput yang ditandingi beliau) dan mendapati iannya amat memberangsangkan.
"Mereka menyatakan bahawa majoriti kaum India tetap menyokong Barisan Nasional (BN) kerana yakin bahawa hanya MIC dan BN sahaja yang dapat membela nasib kaum India di negara ini," katanya.

