kedah 070308 pas flags PAS dijangka mampu menambah jumlah kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) kepada 11, peningkatan enam lagi kerusi pada pilihanraya umum esok.

Di samping itu, PAS juga dijangka menambah dua lagi kerusi parlimennya di Kedah, sekarang parti itu hanya menguasai Pendang.

Manakala PKR pula menaruh harapan untuk menang di DUN Lunas dan DUN Derga.

Kedah mempunyai 15 kerusi parlimen dan 36 kerusi DUN.

PAS bertanding di 23 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen, manakala PKR bertanding di 10 kerusi negeri dan tujuh parlimen. DAP bertanding di dua kerusi DUN.

Malaysiakini meninjau analisis pelbagai pihak di Kedah dan mendapati mereka yakin PAS boleh mempertahankan lima kerusi DUN yang diwakilinya sekarang.

Kerusi lama PAS ialah Sungai Limau, Belantek, Bukit Pinang, Anak Bukit dan Tokai.

Manakala kerusi DUN yang bakal jatuh ke tangan PAS ialah Ayer Hitam, Kota Siputeh, Kupang, Kuala Ketil, Jeneri, Kuala Nerang.

Bagi kerusi parlimen, parti itu dijangka mampu mengekalkan kerusi parlimen Pendang dengan penambahan majoriti lebih 1,000 undi.

Dalam 2004, PAS memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 50 undi sahaja.

Di samping itu, PAS berpeluang untuk memenangi tiga lagi kerusi parlimen - Sik, Jerlun dan Padang Terap.

Pada pilihanraya lepas, PAS tewas di Sik hanya dengan majoriti 319 undi sahaja. Parti itu tewas di Jerlun dan Padang Terap masing-masing dengan 2,142 dan 2,172 undi.

Datuk Mukhriz, anak kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bertanding di Jerlun.

PAS mengekalkan calonnya dulu Idris Ahmad yang berjaya mendapat 16,981 undi.

Menurut mereka, PAS tewas di enam kerusi DUN tersebut pada 2004 dengan majoriti kecil, walaupun ketika itu tiada isu besar di Kedah selepas Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilantik perdana menteri baru.

ijok election last ballots 280407 casting Bagaimanapun, kata mereka, memandangkan isu-isu sekarang termasuk isu kenaikan harga barang, serta perpecahan dalam Umno kerana masalah calon, PAS dijangka boleh menang di tempat-tempat tersebut kali ini.

Harapan PKR pula tertumpu di DUN Lunas dan DUN Derga.

Calon PKR di Derga merupakan penyandang kerusi tersebut, Cheung Khai Yan, bekas pemimpin Gerakan yang menyertai PKR selepas tidak dipilih bertanding semula.

Memandangkan Cheung seorang pemimpin berpengaruh di situ, harapannya untuk mempertahankan kerusinya di bawah tiket PKR dianggap cerah.

Calon PKR ini bagaimanapun berdepan dengan calon BN dari Gerakan, Dr Cheah Soon Hai dan calon DAP, Teoh Teik Guan.

PKR turut menyimpan harapan di Lunas kerana DUN tersebut mempunyai jumlah yang hampir sama antara pengundi Melayu (47.2%) dan bukan Melayu (30% Cina dan 22.5% India).

Calon PKR Mohd Razhi Salleh akan berdepan dengan calon BN-MIC, S Ananthan.

Peluang PKR di kerusi-kerusi lain kurang cerah kerana semua kawasan tersebut dimenangi BN dengan majoriti besar pada 2004.