Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas keadaan tidak menentu selama beberapa hari sejak keputusan pilihanraya umum Sabtu lepas, pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim kini mengekalkan jawatannya.

shahidan kassim Beliau menerima surat pelantikan sebagai menteri besar dari Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi lewat petang semalam.

Perkara itu disahkan oleh ketua penerangan Umno negeri, Datuk Hashim Suboh kepada Malaysiakini hari ini.

Katanya, surat pelantikan itu diserahkan kepada Shahidan pada kira-kira jam 7 malam semalam.

Menurut Hashim lagi, Perlis tidak memerlukan sokongan penuh wakil rakyat untuk pelantikan seseorang sebagai menteri besar.

Katanya, pelantikan ini dibuat oleh pihak parti yakni Barisan Nasional.

"Wakil rakyat adalah individu, apabila pihak parti melantik, maka wakil rakyat secara automatik (mesti) menyokong pelantikan tersebut," katanya.

Hukuman tatatertib

Hashim menegaskan bahawa pelantikan Shahidan sebagai menteri besar adalah kehendak dan keputusan perdana menteri.

"Ini bermakna mereka (wakil rakyat) mesti patuh kepada keputusan perdana menteri.

"Jika mereka melanggar keputusan itu, maka wakil rakyat berkenaan boleh dikenakan hukuman tatatertib.

"Undang-undang tubuh negeri Perlis, setakat mana tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, ia boleh diterima dan dilaksanakan," tambahnya.

Sementara itu, timbalan pengerusi Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga mengesahkan bahawa perdana menteri telah mengeluarkan surat rasmi melantik Shahidan sebagai menteri besar.

Menurutnya, Perkara 372, Undang-undang Tubuh Negeri Perlis menyebut tidak perlu watikah dari istana untuk melantik menteri besar Perlis.

"Cuma kita perlu memaklumkan pihak istana mengenai pelantikan menteri besar," katanya.

Masalah selesai

Menurutnya lagi, terpulang kepada perdana menteri untuk mengutus surat kepada pihak istana memaklumkan mengenai pelantikan tersebut.

Hashim, ketika mengulas perkara yang sama, berkata upacara mengangkat sumpah bukan wajib dan bukan penentu untuk mengesahkan jawatan menteri besar.

"Tetapi mengikut tradisi, ia diadakan apabila seorang menteri hendak dilantik," katanya sambil menambah, barisan exco negeri dilantik selepas pelantikan menteri besar.

Sekarang kedudukan Shahidan itu sudah selesai, tambahnya.

Penubuhan kerajaan negeri itu tertangguh kerana didakwa wujudnya usaha menghalang pelantikan semula Shahidan.

Kumpulan yang bertelagah dengan beliau didakwa menggunakan beberapa saluran, termasuk kepada perdana menteri, supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bintong, Mat Isa Sabu dilantik menggantikan Shahidan yang memegang jawatan itu sejak 1995.

BN pimpinan Shahidan mencatatkan kemenangan besar di Perlis dengan memenangi ketiga-tiga kerusi parlimen - Kangar, Arau dan Padang Besar - dan 14 daripada 15 kerusi DUN.

BN negeri hanya tewas di kerusi DUN Simpang Empat.

ADS