Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau tidak mengetahui kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS menyertai BN.

Mengulas lanjut, bekas menteri besar Terengganu itu berkata, beliau tidak berminat untuk mengadakan perbincangan dengan BN mengenai perkara tersebut.

"Kita tidak ada masa dan tidak berminat. Selepas kerajaan kita kukuh, bolehlah bincang," katanya secara berseloroh kepada pemberita ketika ditanya dakwaan Umno sedang mencuba untuk membeli Adun PAS selepas kemenangan besar parti itu dalam pilihanraya umum lalu.

hadi awang 00 Abdul Hadi berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat di ibu pejabat parti itu di ibu negara hari ini.

Sebaliknya, Abdul Hadi menegaskan PAS bekerjasama dengan semua pembangkang khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk terus mengukuhkan kerajaan negeri yang diperintah pembangkang.

Katanya, PAS juga tidak menghalang kerjasama PKR dengan DAP walaupun parti Islam itu tidak mempunyai hubungan dengan DAP.

Ditanya peranan PKR sebagai orang tengah hubungan antara PAS dengan DAP, beliau berkata, "PKR adalah wakil PAS."

Abdul Hadi meminta semua pihak menerima keputusan pilihanraya umum kali ini dan tidak mengungkit-ungkit isu kerjasama tersebut.

Katanya, calon PAS parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud, menang kerana turut menerima undi pengundi bukan Islam.

"Jadi jangan cetuskan isu kerana menang atau kalah adalah rakyat kita," katanya lagi.

Abdul Hadi menegaskan, kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang akan membersihkan pentadbiran negeri daripada amalan rasuah, kronisme, nepotisme dan kezaliman.

Katanya, dua kerajaan negeri yang diketuai PAS - Kelantan dan Kedah - menekankan kepada negara kebajikan yang boleh diterima semua orang.

"Tidak timbul lagi isu negara Islam kerana ia telah difahami oleh semua orang," tegasnya.

Abdul Hadi turut menegaskan apa yang baik dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan diteruskan oleh kerajaan negeri pimpinan pembangkang.

"Kegagalan DEB kerana adanya unsur-unsur rasuah dan pilih kasih menyebabkan hanya orang Umno terbela dan bukannya rakyat.

"(Dasar) yang baik kita teruskan, manakala yang tidak elok kita banteras," katanya lagi.

Bagaimanapun, tambahnya, hak orang bukan Islam terbela dan kebajikan mereka terjaga sama seperti orang Islam sendiri.

Mengulas persaingan mendapatkan kerusi menteri besar Perak sebelum ini, beliau berkata PAS tidak menuntut jawatan tersebut diberikan kepada partinya.

Sebaliknya, katanya, beliau boleh menerima sesiapa sahaja yang dilantik menjadi menteri besar negeri itu.

Mengenai pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP untuk dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri Kedah, Abdul Hadi berkata, "PAS menerima apa sahaja cadangan PKR mengenai calon DAP itu."


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS