Tidak setuju perhimpunan khas Umno
Ketua Pemuda Umno Selangor, Abdul Shukur Idrus berkata, mesyuarat agung luar biasa tidak perlu kerana ia tidak boleh menyelesaikan masalah yang berlaku dalam parti itu ekoran kekalahan Barisan Nasional (BN) di lima negeri dalam pilihanraya umum lalu.
BN, yang diketuai Umno, turut gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat - mengulangi kelemahan pakatan itu pada 1969.
Lima negeri terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor, selain gagal menawan Kelantan yang telah dimenangi PAS sejak pilihanraya umum 1990.
Abdul Shukur, yang juga wakil Kuang berkata, mesyuarat agung itu nanti boleh menjadi usaha untuk menuding jari kepada pucuk pimpinan tertinggi Umno khususnya presiden parti Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"(Kita) tidak boleh menuding jari kepada Pak Lah di atas kekalahan mengejut Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum baru-baru ini, sebaliknya semua pihak perlu menilai diri sendiri.
"Kita perlu selesaikan masalah dan kelemahan di peringkat yang lebih rendah iaitu cawangan dan bahagian dan ini merupakan tanggungjawab pemimpin peringkat bawahan," katanya kepada Malaysiakini hari ini, mengulas cadangan bekas naib presiden Umno,
Tengku Razaleigh Hamzah.
Wakil rakyat Gua Musang itu menggesa Umno mengadakan mesyuarat agung luar biasa pada 11 Mei depan untuk membincangkan kekalahan besar-besaran itu.
Umno menang 78 daripada 117 kerusi parlimen yang ditandinginya, dan menguasai 239 kerusi DUN daripada 338 yang disertainya dalam pilihanraya umum ke-12. Sebanyak 33 kerusi negeri dimenangi parti itu di Sabah.
Dalam surat bertarikh 12 Mac yang dihantar kepada kesemua 193 ketua bahagian Umno, Tengku Razaleigh turut menyatakan perkembangan ini bukan sahaja "membimbangkan malah menakutkan" ahli Umno.
Tarikh 11 Mei dicadagkan oleh Tengku Razaleigh, juga popular dengan panggilan Ku Li, bersempena ulang tahun hari penubuhan parti tersebut.
Semalam, Pemuda Umno Johor pula menyarankan satu perhimpunan khas dianjurkan sebelum perhimpunan agung Umno, yang dijangka pada Ogos depan, memandangkan keadaan akar umbi yang kini bergolak.
Pengerusi tugas-tugas khas pergerakan itu Suhaimi Khalid berkata, prestasi buruk Umno dan BN telah menimbulkan masalah dan pertikaian pendapat dalam parti itu.
BN gagal mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat apabila pembangkang merebut 82 daripada 222 kerusi.
Abdul Shukur juga berkata, perhimpunan yang disarankan itu tidak perlu diadakan kerana ia dianjurkan dalam keadaan tergesa-gesa dan boleh menimbulkan masalah baru.
"Masalah baru yang saya maksudkan itu ialah pemegang jawatan dalam parti mahu mengukuhkan jawatan masing-masing," katanya lagi.
Sementara itu, ketua bahagian Umno Seremban, Datuk Ishak Ismail berkata, tarikh 11 Mei seperti yang dicadangkan Tengku Razaleigh itu tidak sesuai.
Katanya, yang menjadi masalah sekarang ialah kepimpinan utama Umno hari ini yang tidak menghiraukan pandangan dan suara rakyat terbanyak.
"Sebaliknya mereka memaksa rakyat yang menerima keputusan mereka, walaupun ia bertentangan dengan kehendak rakyat.
"Budaya membodek dan cium tangan yang keterlaluan menyebabkan pemimpin menjadi lupa diri," katanya lagi.
Ketua bahagian Lumut, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, bagaimanapun, bersetuju dengan perhimpunan khas tersebut jika ia berniat baik untuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah Umno.
Katanya, perbincangan hendaklah dibuat secara jujur, selain melihat perkembangan terkini dan meyakinkan semula orang Melayu terhadap parti itu.
"Saya tidak setuju jika perhimpunan tersebut sebagai platform untuk menuding jari dan menjatuhkan maruah sesiapa," katanya.

