Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai pengerusi Umno Selangor, membuka peluang baru kepada beliau untuk merebut semula jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti yang akan datang.

muhammad muhd taib Pelantikan Muhd Taib itu berikutan keputusan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo melepaskan jawatan tersebut malam tadi.

Sebelum ini, Muhd Taib adalah timbalan pengerusi Umno Selangor dan juga ketua penerangan Umno pusat.

Dalam pengumuman kabinet baru semalam, Muhd Taib dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, Selangor jatuh ke tangan barisan pembangkang - PKR, DAP dan PAS - selepas mereka memenangi 36 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Barisan Nasional (BN) dan Umno Selangor pimpinan Dr Mohd Khir juga hanya mampu memenangi lima daripada 22 kerusi parlimen.

Dr Mohd Khir memberikan alasan bahawa beliau tidak dapat lagi meneruskan tugas-tugas tersebut secara berkesan akibat tidak terpilih sebagai anggota kabinet.

Peluang cerah

"Saya rasa saya tidak boleh lagi bekerja.

"Pertamanya saya tidak lagi berada dalam kabinet. Jadi saya tidak boleh bekerja dengan berkesan sebagai setiausaha agung ... saya tak boleh kerja," katanya.

Selain Muhd Taib, dua lagi ahli parlimen dari Selangor dilantik sebagai menteri penuh, iaitu Datuk Noh Omar sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan Datuk Mohd Zin Mohamed sebagai Menteri Kerja Raya.

Muhd Taib gagal mempertahankan jawatan naib presiden dalam pemilihan Umno yang lalu apabila menduduki tempat keempat dengan mendapat 1,177 undi - di belakang Tan Sri Isa Samad (1,507 undi), Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Bagaimanapun, Lembaga Disiplin Umno telah menggantung keahlian Isa selama enam tahun atau dua penggal selepas didapati bersalah melanggar tataetika parti menjelang pemilihan Umno September tahun lalu.

Satu sumber Umno Selangor berkata, dengan kedudukannya sebagai seorang menteri dan pengerusi Umno Selangor, Muhd Taib berpeluang untuk merebut semula jawatan naib presiden itu.

Umno Selangor mempunyai bahagian keempat terbanyak di seluruh negara. Ia mempunyai 24 bahagian di belakang Johor (26), Sabah (25) dan Perak (24).

Bilangan bahagian di sesebuah negeri akan menentukan jumlah perwakilan ke perhimpunan agung Umno. Setiap bahagian menghantar 13 perwakilan.

ADS