Richard Riot, yang dilaporkan telah meninggalkan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), masih lagi ahli parlimen BN di Serian, kata presidennya Tan Sri Dr George Chan Hong Nam hari ini.
Surat peletakan jawatan Richard belum diterima oleh parti, kata Chan.
"Saya dan setiausaha agung tidak menerima apa-apa pun. Saya tidak fikir ia benar. Saya cuba hubungi beliau tetapi tidak berjaya," katanya kepada Bernama .
Chan mengakui Richard "kecewa" selepas tidak tersenarai dalam barisan kabinet seperti diumumkan Selasa.
Menurut laporan itu, Chan menasihati Richard, yang mewakili kawasan itu selama lima penggal, bersabar ketika parti itu "sedang mengusahakan penyelesaian untuknya".
"Terdapat khabar angin bahawa beliau (Richard) mahu menyertai pembangkang tetapi sehingga sekarang, kami masih belum dapat menghubungi beliau," Chan dipetik sebagai berkata.
"Saya telahpun meminta YB Ranum (Mina) dan YB Francis (Harden) untuk mencari beliau memandangkan beliau tidak dapat dihubungi."
Chan dilaporkan masih berharap agar Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi pertimbangan satu jawatan lain untuk Richard.
SUPP bertanding di tujuh kerusi parlimen dan hanya gagal di Bandar Kuching kepada DAP.
