Petisyen calon PAS didengar 3 April
Mahkamah Tinggi Kangar akan mendengar pada 3 April depan, permohonan petisyen pilihanraya yang difailkan oleh calon PAS, Hashim Jasin, memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.
Ini merupakan petisyen pertama yang difailkan di mahkamah sejak selesai pilihanraya umum yang baru lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Zamani A Rahim menetapkan tarikh tersebut dalam kamarnya selepas membenarkan permohonan penangguhan oleh pihak defenden bagi membolehkan mereka membuat bantahan awal. Saman asal itu dijadual didengar hari ini.
Hashim, yang juga pesuruhjaya PAS Perlis, menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Abdullah Hassan, pegawai pengurus pilihanraya, Muhamad Daud Abdull Hamid dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai defenden, demikian menurut laporan Bernama.
Beliau diwakili oleh peguam Zulmi Sabri dan Mohamed Hanipa Maidin manakala Abdullah pula diwakili peguam J Karupiah. Muhamad Daud, yang juga pegawai pengurus pilihanraya bagi parlimen Arau, dan SPR diwakili peguam Siti Salwa Musa.
Abdullah, calon Barisan Nasional (BN), diisytiharkan pemenang DUN Sanglang dengan majoriti 149 undi selepas memperolehi 3,384 undi berbanding 3,235 undi yang diperolehi Hashim, yang merupakan penyandang kerusi tersebut sejak dua penggal lalu.
Hashim memfailkan saman asal pada 17 Mac untuk mendapat pengisytiharan bahawa beliau adalah pemenang kerusi DUN tersebut.
Hashim mendakwa, beliau sepatutnya diisytiharkan pemenang berasaskan kepada perjumlahan undi dalam Banakala Abdullah pula memperolehi 3,286 undi, dan dengan itu, menang dengan majoriti 47 undi.
Hashim dan Abdullah hadir di mahkamah bersama para penyokong masing-masing.

