Majlis angkat sumpah jawatan ahli majlis mesyuarat kerajaan Perak akan diadakan di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, lusa.

Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah berkenan upacara itu diadakan pada pukul 11 pagi Sabtu ini, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Seri Raja Mansur Raja Razman dalam satu kenyataan hari ini.

perak cm mb mohamad nizar jamaluddin Sepuluh hari lepas, wakil PAS Mohamad Nizar Jamaluddin mengangkat sumpah sebagai menteri besar - setelah tertangguh beberapa hari akibat tiada kesepakatan antara tiga parti pembangkang tersebut.

Pergeseran antara mereka berjaya dikurangkan atas kebijaksanaan Raja Dr Nazrin Shah yang mencadangkan semua wakil rakyat pembangkang menurunkan tandatangan bersetuju dengan pelantikan Mohamad Nizar.

Kerajaan campuran DAP, PKR dan PAS hampir-hampir retak apabila tokoh utama DAP Lim Kit Siang mengugut memulaukan acara angkat sumpah Mohamad Nizar.

Sementara PKR pula mengancam menarik diri akibat tidak berpuas hati dengan pengagihan jumlah exco.

DAP pada awalnya menyokong seorang calon PKR sebagai menteri besar, manakala parti pimpinan Dr Wan Azizah Wan Ismail itu pula kecewa dengan dua lagi rakan kongsinya yang membuat agihan portfolio tanpa merujuknya.

Ketiga-tiga parti itu kemudian berunding semula dengan formula enam exco dilantik daripada wakil DAP, manakala PKR dan PAS masing-masing mendapat tiga dan satu - tidak termasuk jawatan menteri besar.

Formula awal yang memberangkan PKR, lapan exco untuk DAP dan selebihnya untuk dua parti lain.

Selepas pengagihan itu selesai, ketiga-tiga parti itu dipercayai berdepan pula masalah pengagihan portfolio.

Pengumuman dari istana hari ini dijangka menamatkan suasana tidak menentu di negeri tersebut yang dikuasai pembangkang dengan kelebihan tiga kerusi.

Ketiga-tiganya memperoleh 31 daripada 59 kerusi - dengan pecahan DAP (18), PKR (tujuh) dan PAS (enam).