DAP meluahkan sekali lagi kekecewaannya pada barisan kabinet "reformasi" Perdana Menteri tetapi gagal melakukan sebarang perubahan bermakna - berbeza sama sekali dengan kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah sering menyatakan kesediaannya untuk mendengar suara rakyat selepas keputusan paling buruk BN dalam sejarah pada pilihanraya umum 8 Mac.

Beliau juga mengakui lambat menjalankan reformasi seperti janji-janjinya dalam pilihanraya umum 2004 sehingga pengundi menolak BN kali ini.

lim kit siang 030606 Tokoh utama DAP Lim Kit Siang mengkritik keengganan menteri dalam negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar membebaskan lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) - termasuk M Manoharan yang menang di kerusi negeri Kota Alam Shah baru-baru ini - daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Semalam Syed Hamid berkata M Manoharan tidak boleh berada "di dua tempat dalam satu waktu" apabila ditanya sama ada wakil rakyat DAP itu boleh menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.

syed hamid albar Mengulas desakan pelbagai pihak supaya Manoharan dan empat lagi rakannya dibebaskan, Syed Hamid berkata: "Kita tidak bertindak berdasarkan saranan parti politik tetapi kepada soal keselamatan dan ketenteraman awam."

Lim menyifatkan kenyataan Syed Hamid "tidak boleh sama sekali diterima."

Ahli parlimen Ipoh Barat itu menambah, penangkapan lima orang itu pada Disember lepas didorong oleh desakan para pemimpin BN, khususnya Umno dan MIC, dan tidak ada kena-mengena dengan isu keselamatan negara.

"Selepas saya sendiri dua kali ditahan selama 35 bulan bawah ISA, saya yakin penahanan ISA sering digunakan sebagai alat politik bagi menindas suara penentangan yang tiada sebarang kaitan dengan keselamat negara," kata Lim.

Rabu lepas, kabinet mencetuskan kekecewaan pertama, tambah Lim, apabila menolak cadangan menteri baru di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd zaid Ibrahim, yang mahu kerajaan BN memohon maaf kepada bekas ketua hakim negara Tun Mohd Salleh Abbas dan lima lagi hakim kanan yang dianggap mangsa-mangsa krisis kehakiman pada 1988.

Tambahnya, keengganan Syed Hamid membebaskan semua tahanan ISA itu menjadi "bukti kukuh" kedua yang menunjukkan kerajaan pimpinan Abdullah tidak bersedia mendengar hasrat orang ramai yang mendesak perubahan bermakna.