Majlis Tertinggi (MT) Umno boleh mencadang untuk memansuhkan kuota pencalonan jawatan-jawatan tertinggi parti, kata ahlinya Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Sistem kuota tersebut dinyatakan dalam fasal 9.5 perlembagaan Umno yang menyebut calon bagi jawatan presiden memerlukan 30 peratus pencalonan, timbalan presiden (20%), naib presiden (10%) dan majlis tertinggi (5%).

Cadangan untuk meminda atau memansuhkan kuota pencalonan itu perlu dipersetujui oleh tidak kurang dari dua pertiga ahli dalam perhimpunan agung khas.

Selepas itu, ia perlu dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam tempoh 28 hari dari tarikh keputusan meminda perlembagaan itu diluluskan.

Ditanya sikapnya tentang isu ini, Dr Mohd Khir beliau berkata sistem kuota mempunyai kelemahan dan kebaikannya.

"Jika ada pencabar yang berwibawa, bolehlah sistem itu dimansuhkan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Sehingga ini, empat ahli MT bersetuju supaya kuota pencalonan tersebut dimansuhkan, selaras dengan usaha melakukan pembaharuan dalam struktur parti itu.

Mereka ialah naib presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Shahrir Samad, Datuk Khaled Nordin dan timbalan pengerusi Sabah, Datuk Shafie Apdal.

Bagaimanapun, Bernama memetik Muhyiddin sebagai berkata, pemansuhan sistem kuota tidak mungkin dapat dimansuhkan dilaksanakan pada tahun ini.

Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa pindaan perlembagaan dan peraturan Umno berkata, perkara itu perlu dibuat dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) di peringkat cawangan dan bahagian, dan ianya perlu dibuat sebelum Mei ini.

"Setakat ini saya tidak nampak mana-mana bahagian mengadakan EGM untuk mendapatkan resolusi tersebut," kata Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Mesyuarat agung peringkat cawangan perlu diadakan antara 17 Julai dan 24 Ogos ini manakala persidangan perwakilan bahagian perlu diadakan antara 9 Oktober dan 9 November.

Perhimpunan Agung Umno tahun ini pula akan berlangsung dari 16 hingga 20 Disember.