Umno Sabah sokong mansuh kuota
Umno Sabah menyokong pemansuhan sistem kuota jawatan tertinggi parti itu, kata timbalan pengerusi badan perhubungannya Datuk Shafie Apdal hari ini.
Katanya, pemansuhan itu membolehkan lebih ramai pemimpin kanan Umno menawarkan diri untuk bertanding.
Umno Sabah mempunyai 25 bahagian - kedua terbanyak selepas Johor (26 bahagian).
Sehubungan itu, Shafie menyokong cadangan beberapa tokoh utama parti itu termasuk naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
"Saya yakin perubahan sistem ini akan menggalakkan lebih ramai tokoh boleh diketengahkan bukan sahaja untuk jawatan Majlis Tertinggi (MT) tetapi juga naib presiden dan jawatan-jawatan utama lain.
"Jadi dalam isu ini saya berpendapat dengan Muhyiddin," katanya kepada wartawan di Putrajaya hari ini.
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menggesa kuota dibuang untuk bertanding jawatan presiden, timbalan dan naib presiden, serta anggota MT.
Pemimpin-pemimpin lain termasuklah bekas menteri besar Selangor, Datuk Dr Mohd Khir Toyo.
Shafie yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan berkata, jika pemansuhan berjaya, ia boleh memberi kekuatan kepada Umno.
Bagaimanapun, katanya, mesyuarat MT pada Khamis lalu tidak membincangkan mengenai pemansuhan sistem kuota tersebut.
Dalam sidang media itu, Shafie juga ditanya mengenai tuntutan kerusi menteri pusat sebagaimana yang disuarakan oleh beberapa pemimpin utama Sabah.
Beliau berkata, suara itu mewakili rakyat terbanyak di negeri itu yang mahukan pemimpin mereka diberikan jawatan lebih penting dan tinggi dalam kabinet.
"Kami (BN) menang cemerlang dalam pilihanraya umum 1999, 2004 dan 2008 dan kerana itu dirasakan wajar mendapat lebih banyak jawatan menteri," katanya lagi.
Selain Shafie, Sabah kini mempunyai dua lagi pemimpin peringkat menteri: Tan Sri Bernard Dompok (menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Datuk Seri Maximus Ongkili (Sains, Teknologi dan Inovasi).
Ditanya mengenai lawatan Perdana Menteri yang juga presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Sabah, Shafie berkata ia bergantung kepada Abdullah sendiri.
Shafie juga menjelaskan antara masalah utama di Sabah ialah kemasukan pendatang haram yang menjadi pekerja dan terbabit dengan kegiatan jenayah.

