Bincang isu kenaikan harga beras
Majlis Harga Negara bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan cara mengatasi kenaikan harga komoditi-komoditi dunia, antaranya beras, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad.
Majlis itu, yang ditubuhkan Januari lepas, belum menetapkan tarikh mesyuarat itu tetapi agendanya antara lain mengenal pasti kaedah pelaksanaan Stok Penimbal Kebangsaan.
"Mesyuarat kedua akan diadakan secepat mungkin... (antara lain) akan tentu tatacara sistem penyimpanan dan pengedaran barang-barang keperluan (termasuk beras, gula dan tepung)," katanya, lapor
Bernama
hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan menaikkan harga beras meskipun harga komoditi itu meningkat.
Najib mengulas jika harga-harga komoditi yang tinggi akan menjejaskan subsidi beras dan sama ada Malaysia mempunyai masalah dalam mendapatkan bekalan beras.
Meningkatnya harga beras, ekoran permintaan tinggi dunia, mendorong pengeksport-pengeksport beras utama Vietnam dan India mengumumkan sekatan terhadap jualan seberang laut minggu lepas.
"Kita sedang memantau keadaan ini dengan rapat. Simpanan beras di dalam negara mesti cukup. Tiada rancangan untuk menaikkan harga beras," kata Najib.

