Most Read
Most Commented
Read more like this

Satu kumpulan anggota masyarakat Islam England membangunkan laman web untuk membantu gadis pintar Sufiah Yusuf yang kini berada dalam jagaan jabatan kebajikan dan gagal menghadiri kuliah di Universiti Oxford.

Sufiah merupakan kanak-kanak berbakat luar biasa dan dibenarkan belajar matematik di universiti terunggul itu ketika berusia 13 tahun. Beliau bagaimanapun dilaporkan hilang secara mengejut pada 21 Jun tahun lalu selepas mengambil peperiksaan akhir.

Pelajar tahun tiga itu dilaporkan menghilangkan diri daripada keluarganya kerana mengalami tekanan perasaan. Dalam satu mesej emel kepada adiknya, Aishah, Sufiah berkata beliau "didera fizikal dan emosi selama 15 tahun" oleh ibubapanya yang mengutamakan pencapaian akademik.

Bagaimanapun, Sufiah ditemui 7 Julai tahun itu di sebuah kafe internet oleh sekumpulan polis dan kemudiannya tinggal dengan sebuah keluarga angkat berbangsa Inggeris di Bournemouth, di pantai selatan negara itu.

Laman web itu, [#1] sufiahyusuf.tripod.com [/#], dibangunkan oleh Kumpulan Prihatin Masyarakat Muslim Oxfordshire (Migo) atas keprihatin mereka terhadap kebajikan Sufiah yang didakwa tidak dapat dihubungi sejak ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Bournemouth.

"Kami berazam untuk memastikan dia (Sufiah) tidak dilupakan dan kami harap dia dapat hidup seperti biasa," kata Hamidi A Rahman, penasihat laman web ciptaan Migo itu kepada malaysiakini . Badan itu merupakan sebuah pertubuhan sukarela yang dianggotai oleh pelajar dan profesional yang mempunyai hubungan dengan Malaysia.

Ibu gadis 16 tahun ini, Halimaton Yusuf, berasal dari Johor.

Hamidi juga berkata laman web tersebut diwujudkan bagi mendapat sokongan orang ramai dan saluran bertukar pendapat sebagai dedikasi kepada Sufiah.

Menurutnya, Migo bimbang Sufiah tidak menerima kemudahan beragama Islam dan kebebasan untuk mengamalkan kepercayaannya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS