BERITA

Mufti Perlis gesa TV3 adil melapor

Fathi Aris Omar

Diterbitkan
Dikemaskini 3 Apr 2008, 4:08 pagi

Mufti Perlis yang semakin meningkat namanya, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, mengutus surat kepada stesen TV3 dan menggesa ia melaporkan secara adil sesuatu perkembangan politik.

Dalam suratnya bertarikh 27 Mac kepada stesen itu, mufti muda itu menegaskan semua media, termasuk akhbar dan internet, harus membuat liputan yang adil di tengah-tengah senario baru politik selepas pilihanraya umum 8 Mac.

"Jauhi unsur-unsur prasangka dan provokatif.

dr asri letter to tv3 030408 "Janganlah kita mengulas secara negatif setiap berita pihak yang kita tidak bersetuju dengannya," surat beliau dipetik, salinannya dimuatkan di blognya Minda Mufti (www.drmaza.com).

"Kebencian, (rasa) tidak puas hati dan permusuhan ke atas seseorang, atau sesuatu golongan tidaklah membolehkan kita membuat laporan yang tidak adil terhadap mereka," tambahnya lagi dengan mengutip surah al-Maidah ayat 8.

Ayat al-Quran itu, antaranya, memberikan peringatan kepada umat Islam agar "hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu tidak melakukan keadilan."

Menurut blog Dr Mohd Asri, surat bertajuk "Keperluan Berita Yang Sahih Lagi Bersih Dari Sebarang Provokasi" dialamatkan kepada penerbit Buletin Utama TV3, program berita sejam yang berpengaruh besar di stesen tersebut.

Mufti itu, yang menulis kolum mingguan di akhbar Utusan Malaysia , juga berpesan: "Jika tidak, para penyiar akan menjadi sumber fasik yang membawa berita bohong, atau melaga-lagakan antara manusia.

"Sifat amanah dan telus dalam penyiaran berita adalah dituntut oleh agama dan menjadikan penyiarnya itu lebih berwibawa, dihormati dan mendapat kepercayaan umum."

Surat itu dipercayai sebagai mengulas trend laporan media cetak dan elektronik selepas lima negeri jatuh di tangan pembangkang, sementara BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Senario politik yang julung-julung kali wujud dalam sejarah negara ini - digelar "tsunami politik" - menimbulkan kejutan besar kepada semua pihak, termasuk ahli politik kerajaan dan pembangkang.

mohd asri zainul abidin interview 231106 assured Sebelum itu, dalam tulisan lain di blognya, Dr Mohd Asri mengulas semua lima negeri tersebut kecuali Pulau Pinang.

Tentang Kedah, beliau berkata: "Pegangan ‘siasah untuk maslahah ummah’ amat penting agar tidak timbul sama sekali unsur politik membalas dendam.

"Kita berdoa agar prinsip-prinsip Islam yang damai, harmoni lagi adil dapat dikecapi oleh rakyat Kedah menerusi kerajaan mereka yang baru."

Mengulas kerajaan campuran PKR-DAP-PAS, doktor falsafah dalam bidang pengajian hadis itu berkata:

"Nampaknya tawaran-tawaran kerajaan baru Selangor mampu menzahirkan prinsip pemerintah mengutamakan rakyat seperti yang menjadi teras siasah dalam Islam.

"Kita amat berharap ketelusan dan kejujuran akan menjadikan mereka lebih unggul dibandingkan kerajaan sebelum ini."

Tegurannya kepada TV3 dan ulasan terbukanya tentang negeri-negeri yang dikuasai pembangkang tidak pernah berlaku dalam sejarah institusi mufti di negara ini.

Blognya itu turut memuatkan klip video khutbah yang disampaikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga mursyidul am PAS.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.