BERITA

Ahli Umno sabotaj 22 DUN, 14 parlimen

Nash Rahman

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Apr 2008, 6:33 pagi

Barisan Nasional, khususnya Umno, tewas di 14 kerusi parlimen dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum 8 Mac kerana perbuatan sabotaj ahli Umno sendiri.

Ketika mendedahkan demikan, presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tanpa sabotaj, BN dapat mempertahankan penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Dalam pilihanraya umum lalu, BN mendapat 140 kerusi parlimen - kurang lapan kerusi untuk mendapatkan majoriti dua pertiga.

Umno tewas di 31 kerusi parlimen apabila hanya mampu mempertahankan 78 daripada 109 kerusi yang dimenanginya pada 2004.

Menurut Abdullah lagi, jika tidak berlaku sabotaj dalam kalangan ahli-ahli Umno di 22 kerusi DUN tersebut, BN tidak akan kalah di Kedah dan Perak.

Menurutnya, semua kerusi parlimen dan DUN terbabit merupakan "kawasan putih" dan BN tidak menghadapi masalah untuk memenanginya, jika tidak berlaku sabotaj tersebut.

Jalan siasatan

Sehubungan itu, katanya, parti akan menjalan siasatan dan membuat laporan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukannya.

Abdullah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan semua ketua penerangan bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara hari ini.

Beliau bagaimana enggan mengulas lanjut apabila ditanya pemberita punca ahli-ahli parti itu bertindak mensabotaj hingga calon-calon Umno kalah di 14 kerusi parlimen dan 22 kerusi DUN tersebut.

Sebaliknya, kata Abdullah, Umno akan menjalankan siasatan terperinci mengenainya untuk diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti.

Di Kedah, barisan pembangkang memenangi 21 kerusi DUN dengan pecahan PAS (16), PKR (4) dan DAP (1). BN hanya menang di 14 kerusi.

Di Perak pula, barisan pembangkang menang di 31 kerusi dengan pecahan DAP (18), PKR (7) dan PAS (6). BN pula menang 28 kerusi.

BN juga tewas di Selangor dan Pulau Pinang - masing-masing 20, dua daripadanya MCA, dan 11 kerusi (semuanya Umno).

PAS berjaya mengekalkan Kelantan dengan tambahan kerusi - daripada 22 kepada 38 kerusi DUN. PKR pula menang satu kerusi DUN. BN hanya mendapat enam kerusi.

BN ditolak

Berapa ketua penerangan yang ditemui selepas majlis tersebut memberitahu Malaysiakini , Abdullah bercakap hampir dua jam untuk memberi penjelasan kepada mereka punca-punca prestasi buruk BN, khususnya Umno dalam pilihanraya ke-12.

Seorang daripadanya yang enggan dikenali berkata, Abdullah memberitahu mereka bahawa di kawasan yang mempunyai lebih 60 peratus pengundi Melayu, 63 peratus calon BN mencapai kemenangan.

Manakala di kawasan yang mempunyai majoriti lebih 60 peratus pengundi bukan Melayu, BN hanya mencapai kemenangan 19 peratus.

"Pada keseluruhannya, BN ditolak secara drastik di kawasan bukan Melayu," kata sumber itu lagi.

Menurutnya, Abdullah juga menyebut punca-punca lain termasuklah kemerosotan sokongan pengundi kaum India terhadap BN, serta pengaruh internet terhadap masyarakat dalam membuat pilihan mereka.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.