Umno bahagian Bukit Gelugor di Pulau Pinang, mungkin mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) ekoran prestasi buruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Ketuanya senator Datuk Omar Faudzar berkata, ia juga bertujuan mencari jalan penyelesaian terhadap isu kuota pencalonan bagi membolehkan seseorang itu bertanding jawatan tertinggi parti.

"Ketika ini, 30 peratus daripada jawatankuasa bahagian itu telah mendesak supaya diadakan EGM.

"Saya serahkan kepada semua jawatankuasa tiga peringkat di bahagian untuk memutuskan kewajaran EGM," katanya kepada pemberita di pejabatnya hari ini.

abdullah ahmad badawi pak lah 110907 Bukit Gelugor satu daripada 13 bahagian Umno di Pulau Pinang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan pengerusi badan perhubungan Umno negeri tersebut.

Setakat ini, Umno bahagian Gua Musang telah mengadakan EGM Jumaat lalu, manakala Umno Cheras , dijadual mengadakannya pada 27 April depan.

Beberapa bahagian Umno di Johor juga dikatakan merancang untuk mengadakan EGM bagi membincangkan perkara yang sama.

Bernama juga memetik Omar sebagai berkata, kritikan terbuka bekas presiden parti Tun Dr Mahathir Mohamad sejak kebelakangan ini, seharusnya tidak dianggap negatif tetapi ia dibuat kerana beliau sayangkan parti dan tidak mahu melihat Umno hancur.

'Jangan melatah'

"Kita tidak boleh tinggalkan veteran parti yang telah banyak berjasa dan juga berpengalaman dan pemimpin sekarang jangan pula mudah melatah dan melompat bila ditegur.

"Tapi apa yang saya lihat sekarang, tuding-menuding kesalahan lalu, memburukkan imej parti," kata Omar lagi.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin Umno berhenti daripada saling menuding jari berhubung kemelut dalaman parti itu sekarang dan sebaliknya berbincang baik-baik untuk mencari jalan penyelesaian.

"Kita tidak pernah bincang bagaimana hendak menyelesaikan masalah tetapi lebih kepada menghentam satu sama lain. Jika pemimpin Umno sentiasa bergaduh, rakyat akan muak dan kepada siapa mereka hendak bergantung harapan," katanya.

Menurutnya, pemimpin tertinggi parti dan pemimpin veteran perlu duduk semeja untuk mencari formula terbaik bagi mengembalikan keyakinan ahli parti dan rakyat kepada Umno.

"Janganlah para pemimpin ini saling berbalah sesama sendiri kerana bukan sahaja ahli parti merasa gelisah dengan perkembangan ini, malahan ia membuka peluang kepada pembangkang untuk mengkritik kita," katanya.