Semua 10 ahli parlimen pembangkang mengecam projek pemusnahan hutan Bukit Gasing oleh syarikat pemaju dengan kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Syarikat itu Gasing Meridian mula membuat kerja-kerja pembersihan kawasan hutan itu pada 27 Mac lalu.

"Sehingga kini tiada maklumat lengkap dikeluarkan oleh DBKL kepada umum berhubung projek tersebut dan kesannya pada kawasan sekelilingnya," kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

"Satu petisyen kepada DBKL untuk satu pendengaran awam tentang projek itu juga ditolak."

Arahan Pembangunan telah dikeluarkan oleh dewan bandaraya, kata mereka, walaupun ia berjanji tidak berbuat demikian pada November tahun lepas sehingga mendapat pandangan orang ramai.

DBKL juga digesa tidak meneruskan pembangunan kawasan itu sehingga semakan perundangan selesai seperti diperintahkan Mahkamah Tinggi minggu lalu.

nurul izzah 050407 smile "Kami kesal Gasing Meridan meneruskan kerja-kerja menaikkan papan tanda projek di kawasan tersebut tanpa mempedulikan perintah mahkamah," kata mereka, antaranya ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Tan Sri Khalid Ibrahim, wakil Bandar Tun Razak, Teresa Kok (Seputeh), Dr. Tan Seng Giaw (Kepong) dan Dr. Lo’ Lo’ Mohd Ghazali (Titiwangsa) antara ahli parlimen PKR, DAP dan PAS yang membantah.