BERITA

Empat Adun BN Kedah sertai PAS?

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Apr 2008, 4:45 petang

kemaskini 7:55pm Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN Kedah didakwa telah mengadakan rundingan untuk menyertai PAS baru-baru ini.

Pertemuan mereka dengan seorang anggota exco negeri itu "menampakkan tanda-tanda positif".

Keempat-empatnya berjumpa dengan Amiruddin Hamzah selama 80 minit di satu tempat yang dirahsiakan, lapor satu blog politik 'Dari Yan' (ceritayan.blogspot.com).

Tiga Adun terbabit didakwa akan mendapat jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) dalam anak syarikat kerajaan negeri dengan tawaran gaji yang lumayan.

Manakala seorang lagi Adun ditawarkan jawatan datuk bandar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

kedah umno pas Namun, menurut blog tersebut lagi, tawaran jawatan datuk bandar MBAS mendapat tentangan sekumpulan pemimpin PAS yang lebih berminat meletakkan pegawai daerah Kota Setar, Datuk Wira Ahmad Md Isa untuk jawatan tersebut.

Sehingga lewat petang ini, panggilan telefon dan mesej SMS Malaysiakini kepada Amiruddin sejak semalam belum dijawab.

PAS mengambil alih kerajaan negeri Kedah daripada BN setelah menang besar dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Sementara itu, ahli jawatankuasa Umno bahagian Pendang, Datuk Othman Abdul berkata, laporan bahawa ada Adun BN akan menyertai PAS tidak berasas sama sekali.

Katanya kepada Malaysiakini , laporan sedemikian rupa adalah permainan PAS untuk menimbulkan suasana tidak tenang di kalangan penyokong BN khususnya Umno.

"Tiada kedengaran langsung Adun BN mahu menyertai PAS dan kerana itu saya anggap ia laporan yang tidak boleh dipercayai," katanya.

Ketua penerangan PAS dan ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar ketika dihubungi berkata, beliau tidak tahu mengenai laporan tersebut.

"Saya tidak tahu laporan tersebut betul atau tidak," katanya lagi.

"Kalau (mereka) jumpa PAS, saya tahu. Kalau jumpa Amiruddin, saya tidak tahu."

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.