Kena jika CCTV di KLIA rosak
Syarikat yang memasang kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di lapangan terbang KLIA akan dikenakan tindakan jika alat itu tidak beroperasi semasa rompakan melibatkan S$1.5 juta (RM3.5 juta) petang kelmarin, kata menteri pengangkutan Datuk Ong Tee Kiat.
CCTV di hadapan balai berlepas, tempat empat perompak melepaskan tembakan bertubi-tubi hingga mencederakan lima orang, dilaporkan tidak berfungsi ketika kejadian.
Memetik sumber polis, Berita Harian semalam melaporkan pemeriksaan polis terhadap rakaman CCTV itu tidak merekodkan sebarang imej yang diharap boleh memberi petunjuk penting dalam kes berprofil tinggi.
"Kita memeriksa semua CCTV berhampiran tempat kejadian bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai apa yang berlaku termasuk untuk mengecam wajah suspek yang tidak bertopeng itu.
"Agak mengejutkan kerana tiada sebarang rakaman," satu sumber dipetik sebagai berkata.
Ong berkata: "Kelengkapan dan alat-alat yang dipasang bagi tujuan keselamatan mestilah berfungsi sepanjang masa dan memenuhi piawaian antarabangsa".
Namun, menteri itu berkata beliau akan mendapatkan penjelasan dari pihak berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan, lapor Bernama hari ini.
Tee Keat bagaimanapun berkata, tidak wajar membuat sebarang spekulasi buat masa ini oleh kerana polis masih menyiasat kes itu.

