Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seramai 26 ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Muar akan meletak jawatan beramai-ramai jika kepemimpinan bahagian itu gagal mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) untuk membincangkan krisis yang melanda Umno sekarang ekoran kekalahan teruk parti itu dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Salah seorang anggota jawatankuasa berkenaan, Hassan Sulaiman Ninam Shah berkata, majoriti AJK bahagian telah mendesak supaya EGM diadakan dan surat mengenainya telah dihantar kepada setiausaha Umno bahagian pada 1 April.

Menurutnya, Umno bahagian mempunyai masa 14 hari untuk memanggil EGM tersebut tetapi sehingga hari ini, tiada surat dikeluarkan untuk mengadakanya.

umno assembly Ekoran itu, kata beliau, pihaknya akan menunggu sehingga berakhir tempoh 14 hari tersebut (Isnin), sebelum membawa perkara itu kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno.

"Sekiranya MT juga gagal mengarahkan EGM diadakan, kami 26 AJK Umno bahagian Muar bersetuju akan meletakkan jawatan secara beramai-ramai," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Hassan yang juga anak kepada bekas pengerusi tetap Umno, Tan Sri Sulaiman Ninam Shah berkata, Perkara 14.6 perlembagaan parti menyebut, sekiranya lebih dua pertiga AJK bahagian menyokong EGM diadakan, maka setiausaha bahagian mesti mengeluarkan notis untuk mengadakannya.

"Tetapi hingga sekarang tiada notis yang dikeluarkan. Kita akan tunggu hingga tamat tempoh 14 hari. Apabila setiausaha bahagian tidak hantar notis, MT kena ambil alih.

Letak jawatan

" Kita nak tengok sama ada MT berani atau tidak mengarahkan EGM diadakan. Jika gagal berbuat demikian, kami akan meletak jawatan secara beramai-ramai," tambahnya.

Hassan juga mendakwa bahawa ketua bahagian berkenaan telah menghantar mesej SMS kepada kalangan 26 ahli AJK meminta mereka menarik balik desakan untuk mengadakan EGM tersebut.

Awal bulan ini, 84 daripada 133 cawangan Umno di bahagian itu bersetuju EGM diadakan untuk membincangkan beberapa isu tentang parti selepas prestasi buruk Umno dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Ia kemudiannya disokong oleh 26 daripada 33 ahli jawatankuasa bahagian yang menandatangani persetujuan meminta bahagian mengadakan EGM dalam tempoh 14 hari mulai 1 April lepas.

Isu yang akan dibincangkan termasuklah cadangan menghapuskan kuota pencalonan 30 peratus bagi jawatan presiden Umno pada pemilihan agung Disember ini.

Dalam pilihanraya umum lalu, Barisan Nasional (BN) menang 140 kerusi parlimen tetapi gagal mempertahankan penguasaan dua pertiga di Dewan Rakyat.

abdullah ballot box umno barisan 190108 BN juga kehilangan empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - kepada barisan pembangkang yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP.

Manakala PAS berjaya mengekalkan Kelantan dengan tambahan kerusi.

Beliau juga mempertikaikan tindakan 26 ketua bahagian Umno Johor yang menyatakan sokongan mereka kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam.

"Siapa yang beri mereka mandat kerana setahu saya, tidak sebuah pun bahagian Umno di Johor yang mengadakan mesyuarat untuk menyatakan sokongan kepada Pak Lah.

Mahu bercakap benar

"Mengapa Menteri Besar, Datuk Seri Abdul Ghani Othman tidak beritahu Pak Lah yang ada antara ketua bahagian yang menghadiri perjumpaan dengan beliau minggu lalu, mahu Pak Lah berundur...," soalnya.

Beliau juga menegaskan bahawa Abdullah, Datuk Seri Najib Tun Razak dan semua anggota MT perlu meletakkan jawatan sebagai bertanggungjawab terhadap kekalahan teruk BN dalam pilihanraya umum lalu.

Hassan yakin, ramai lagi ahli Umno yang sependapat dengannya bahawa pucuk pimpinan tertinggi Umno harus bertanggungjawab terhadap kekalahan parti.

"Saya menyokong penuh saranan yang dibuat oleh setiausaha Umno Pahang, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman, supaya Pak Lah, Datuk Najib dan semua ahli MT letak jawatan...," katanya.

Ahmad Tajuddin kemudiannya telah meletakkan jawatannya berkuatkuasa serta-merta.

Bagaimanapun, tegas Hassan, ahli biasa seperti beliau tidak diberi tempat dalam media untuk menyatakan pandangan mereka.

"Sudah puas saya bercakap tetapi pihak media tidak pernah melaporkan.

"Saya mahu menyatakan pandangan sebenar ahli-ahli di peringkat akar umbi...saya sedia dikenakan apa juga tindakan kerana bercakap benar," katanya.

ADS