Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Projek babi macam taktik Israel?
Diterbitkan:  Apr 12, 2008 8:05 PM
Dikemaskini: 6:03 PM

Projek penternakan babi yang diuruskan secara lebih moden seperti di Selangor, kini bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, dianggap satu usaha popular pembangkang memenangi hati pengundi bukan Melayu.

Datuk Mohd Nakhaie Ahmad mengajak orang Melayu berhati-hati dengan langkah seumpama Pakatan Rakyat ini kerana ia boleh menghakis hak dan keistimewaan mereka.

"Kita bimbang yang menjadi tawaran dalam usaha meraih sokongan politik orang-orang bukan Melayu itu, ialah hak-hak orang Melayu.

moden pig farming 080408 "Bahkan sensitiviti orang-orang Melayu, dirasakan, tidak perlu lagi dipelihara. Tidak mengapa ladang ternak babi dibangunkan berdekatan kampung Melayu," kata Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

"Apakah ini suatu tindakan halus untuk mengusir orang-orang Melayu dari kampung halaman mereka sebagaimana Israel mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka?"

Beliau berucap sedemikian di awal forum 'Memperkasakan Perpaduan Melayu untuk Kesejahteraan Nasional' sempena Perhimpunan Perpaduan Melayu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau sebelum itu mengajak peserta program berwaspada dengan perkembangan baru politik susulan keputusan pilihanraya umum 8 Mac yang menolak BN dan menguntungkan pembangkang, termasuk parti Melayu seperti PAS dan PKR.

"Waspadalah wahai bangsaku terhadap trend politik orang-orang Melayu kini, akibat situasi politik pasca pilihanraya umum ke-12. Parti politik Melayu yang mendapat sokongan orang bukan Melayu, sedang dan akan mengambil langkah-langkah popular demi mengekalkan sokongan itu untuk mereka," katanya, juga mantan setiausaha agung PAS yang menyertai Umno pada 1988.

Beliau juga bimbang dengan kemerosotan pengaruh BN dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

"Yang kehilangan sokongan orang-orang bukan Melayu pula, berusaha menarik semula sokongan itu. Kita bimbang yang menjadi tawaran dalam usaha meraih sokongan politik orang-orang bukan Melayu itu, ialah hak-hak orang Melayu," tambah cendekiawan Melayu itu.

pas umno general election 021104 Sambil menyifatkan keputusan itu sebagai "perpecahan yang diinstitusikan", Mohd Nakhaie menganggap kerajaan Pakatan di Perak sebagai "kuda tunggangan dan boneka orang bukan Islam" demi memuaskan kehendak politik pembangkang "menumbangkan kerajaan yang dipimpin orang Melayu."

"Inilah antara akibat perpecahan yang diinstitusikan. Bagi saya, ini adalah satu tragedi yang tidak boleh dilupakan," katanya.

Menurutnya lagi, perpecahan orang Melayu dalam dua kumpulan besar - BN dan Pakatan - melemahkan kuasa politik mereka walaupun jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat cukup untuk membentuk kerajaan sendiri.

"Di Perak, orang-orang Melayu dalam Umno dan PAS adalah majoriti di DUN. Jika bersatu mereka boleh membentuk kerajaan yang mampu mempertahankan kuasa politik orang-orang Melayu. Tetapi kerana perpecahan antara kedua-dua parti politik ini telah diinstitusikan, perkara yang sepatutnya berlaku untuk mempertahankan kuasa politik orang-orang Melayu, tidak berlaku," katanya.

"Di parlimen sekarang kerusi di tangan orang-orang Melayu berjumlah 129 kerusi.

"Walaupun kerusi yang disandang orang-orang Melayu adalah majoriti, namun perpecahan di kalangan mereka yang telah diinstitusikan atas garis akidah yang dipolitikkan dan politik yang diakidahkan, dimangkinkan pula oleh politik kebencian, tidak akan memberi apa-apa jaminan bahawa majoriti itu akan dapat mempertahankan kuasa politik orang-orang Melayu," katanya.

"Ini kerana jumlah kerusi (ahli parlimen Melayu) berkenaan berpecah dua kepada 86 kerusi BN dan 43 kerusi dalam Pakatan Rakyat."

Pada bahagian awal ucapannya, Mohd Nakhaie berkata generasi tua bukan Melayu menjelang kemerdekaan menerima hakikat bahawa negara ini milik Melayu yang memberi jaminan hak dan keistimewaan kepada penduduk peribumi itu.

perak state mb cm swearing sworn in ceremony people "Penyerahan kerakyatan kepada orang-orang bukan Melayu adalah bersyarat. Mereka mestilah menghormati hak-hak istimewa orang-orang Melayu, kedaulatan institusi Raja-raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

"Semua persetujuan itu diabadikan dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia tidak boleh dibangkitkan lagi dan telah diaktakan sebagai perkara sensitif yang tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak."

Namun begitu, tambahnya, generasi muda bukan Melayu tidak menghormati persetujuan ini dan orang Melayu turut terikut-ikut dengan rentak perjuangan bukan Melayu.

"Alasan mereka (bukan Melayu) bahawa, sebagai rakyat, mereka berhak menikmati persamaan mutlak. Hak istimewa orang-orang Melayu dianggap diskriminasi. Semua agama mesti dilayan sama rata bagi menghormati hak dan kebebasan beragama.

"Hakikatnya, persamaan yang dituntut itu tidak adil, kerana ia dibuat tanpa menghargai sejarah dan syarat mereka (bukan Melayu) diterima sebagai rakyat negara ini," katanya.

"Malangnya, terdapat di kalangan sebahagian kecil orang-orang Melayu terikut-ikut dengan rentak perjuangan orang-orang bukan Melayu yang tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami sejarah negara ini.

"Berlandaskan perjuangan hak asasi manusia dan kebebasan beragama konon, mereka (generasi muda Melayu) melihat bahawa hak istimewa orang-orang Melayu dan Islam sebagai agama negara, tidak relevan lagi.

"Hak kita yang sah, tetap hak dan sebarang usaha merampas hak itu atau mengeluarkannya daripada garis kesinambungan sejarahnya, mestilah ditentang.

"Suara meremehkan hak kita kian lantang. Usaha jahat itu mesti ditentang dengan tegas dan berkesan. Jika dibiarkan, dayuslah kita. Bangsa yang dayus, tidak berhak hidup. Putaran sejarahnya, lambat laun akan berhenti."

"Sebagai bangsa bermaruah di bumi sendiri, kita tidak akan membiarkan kata-kata 'tak kan Melayu hilang di dunia' menjadi sepi, sesepi tanah perkuburan."

Menjawab sebab perhimpunan itu memberikan tumpuan pada perpaduan bangsa, bukannya perpaduan umat Islam, Mohd Nakhaie berkata perpaduan Melayu lebih mampu diusahakan di negara ini berbanding perpaduan umat yang bersifat sejagat.

"Yang mampu disuarakan kini, hanya perpaduan orang-orang Melayu, yang beragama Islam. Mereka adalah sebahagian daripada umat Islam seluruhnya. Pun begitu, suara perpaduan Melayu itu sendiri berhadapan dengan cabaran yang tidak mudah dihadapi," katanya.

"Kami cuba berpijak di tanah rata, tidak tersesat dalam impian idealisme penyatuan umat di seluruh dunia, tidak mahu terkandas di persimpangan, jalan seribu liku.

"Kami cuba melihat hanya yang nampak, yang nampak dengan mata kasar dan dengan hati nurani. Kami sedar, jika orang Melayu di negara ini tersungkur, kedaulatan Islam juga turut tersungkur, justeru orang-orang Melayu adalah pendukung agama suci ini," katanya.

Tambahnya lagi, orang Melayu selalu berpecah kecuali sewaktu menentang Malayan Union pada 1946 dan menghadapi senario rusuhan antara kaum pada 1969.

"Perpecahan kali ini (pilihanraya 2008) lebih parah. Justeru perpecahan telah diinstitusikan, berlandaskan perbezaan politik dan akidah.

"Apabila politik diakidahkan dan akidah dipolitikkan, ditambah pula politik kebencian, akibatnya perpecahan (Melayu) membentuk institusinya."

ADS