Ong nafi komplot jatuhkan Chua
Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau merancang menjatuhkan bekas naib presiden Datuk Dr Chua Soi Lik melalui penyebaran video seks yang membabitkan bekas menteri kesihatan itu Januari lalu.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini Jumaat lalu - empat bulan selepas tersebarnya video tersebut - Ong menafikan dakwaan bahawa beliaulah orang di sebalik pita video tersebut, bagi membunuh karier politik Chua.
“Tiada sebab langsung untuk saya melakukan perkara tersebut. Jika beliau (Chua) kuat, ia lebih baik bagi saya kerana Johor berada dalam tangan yang selamat.
"Sepanjang masa, saya menganggap beliau seorang pemimpin yang cekap - ia datang dari lubuk hati saya," katanya dalam wawancara selama 90 minit.
Ong juga menafikan yang beliau telah mengenakan tekanan terhadap Chua - yang berpotensi mencabar jawatan presiden - supaya melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan selepas tersebarnya video seks tersebut.
Ong, 51, menegaskan selama ini beliau enggan menjawab tuduhan tersebut kerana perlu menumpukan kepada perkara yang lebih serius.
"Tetapi jika ia masih berterusan, saya perlu menjawab dan menghentikannya," tegasnya sambil berkata sudah cukup beliau berdepan dengan perbuatan memalukannya serta tuduhan-tuduhan lain yang tidak adil.
Walaupun nama Ong tidak disebut, tetapi penyokong Chua mendakwa, "pucuk pimpinan tertinggi" MCA turut terbabit. Chua sendiri yakin bahawa "musuh-musuh politiknya" bertanggungjawab di sebalik penyebaran pita video tersebut.
Kuat pengaruh
Sebelum tercetusnya skandal seks tersebut, Chua, 61, merupakan pemimpin nombor tiga dalam hirarki kepemimpinan MCA dan dianggap sebagai bakal peneraju parti tersebut.
Beliau mempunyai pengaruh kuat di kalangan akar umbi MCA di beberapa negeri, termasuk di Johor yang mempunyai jumlah perwakilan teramai dalam perhimpunan agung parti tersebut.
Ekoran itu, timbul teori konspirasi bahawa penyebaran video seks tersebut itu bertujuan menghakis peningkatan mendadak pengaruh Chua, yang pernah membayangkan kemungkinan bertanding jawatan presiden Oktober ini.
Ong dan Chua merupakan orang kuat Tun Dr Ling Liong Sik. Mereka adalah dari 'Team A' yang diketuai bekas presiden MCA itu sewaktu tercetusnya krisis dalaman MCA pada 2001.
Ong, anak kelahiran Perak dan bekas guru, mengambil alih pucuk pimpinan MCA pada Mei 2003 bawah pelan damai yang diusahakan oleh Dr Ling dan timbalannya Datuk Lim Ah Lek, yang mengetuai 'Team B'.
Ekoran itu, Ling dan Lim meletakkan jawatan masing-masing, bagi membuka jalan kepada Ong menjadi presiden dan penyokong kuat Lim, Datuk Chan Kong Choy sebagai timbalan presiden.

