Najib: PM tahu masa terbaik serah kuasa
Demi kebaikan parti dan negara, Datuk Seri Najib Tun Razak percaya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai kebijaksanaan untuk menentukan tempoh yang sesuai bagi peralihan kuasa.
"Kita serahkan kepada perdana menteri untuk menetapkan tempoh waktu yang sesuai. Saya yakin dengan kebijaksanaannya dalam memutuskan apa yang baik untuk parti dan negara," katanya.
Najib menegaskan demikian ketika diminta mengulas kenyataan Abdullah bahawa beliau akan mempertahankan jawatan presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini walaupun ada gesaan dalam kalangan ahli Umno supaya beliau melepaskan jawatan, demikian menurut laporan Bernama.
Ini termasuk mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan sebagai berkata, peralihan kuasa dalam Umno perlu dilakukan sekarang bagi memastikan parti berada pada landasan yang kukuh untuk mengetuai Barisan Nasional (BN) merampas semula negeri-negeri yang jatuh ke tangan pembangkang.
"(Abdullah) telah membuat kenyataan untuk mempertahankan jawatan sebagai presiden parti. Saya percaya itulah satu keputusan yang selaras dengan hasrat beliau untuk memastikan keadaan dalam parti kita ini dapat dimantapkan,
memulihkan semangat parti dan menentukan parti berada di atas landasan yang lebih kukuh untuk menghadapi sebarang cabaran politik," jelas Najib yang juga timbalan perdana menteri kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
Semasa ditanya pendapatnya mengenai beberapa komen lantang pemimpin parti termasuk Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Najib berkata: " Umno merupakan sebuah parti yang demokratik, kami membenarkan pendapat dan pandangan berbeza disuarakan,"
Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dipetik sebagai berkata, Umno akan terjerumus ke dalam keadaan yang lebih teruk dan akan hilang kuasa jika tiada perubahan segera dilakukan dari segi kepimpinan parti.
Muhyiddin juga berkata beliau melihat ada satu perasaan membuak-buak wujud di peringkat bawahan parti kini iaitu perasaan tidak puashati yang ketara.

