Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina di Damansara tidak mengalami pencemaran serius dan sesuai untuk pelajar.

Hasil kajian ini menolak hujah pihak tertentu yang berpendapat murid sekolah itu wajar dipindahkan kerana berada berhampiran Lebuhraya Sprint.

"Pencemaran kawasan itu rendah dan tidak akan membahayakan pelajar," kata Ketua Penerangan DAP, Ronnie Liu kepada malaysiakini . Minggu lalu, beliau melawat JAS untuk melihat satu laporan Kesan Alam Sekitar untuk kawasan tersebut.

Menurut Ronnie, Lembaga Pengurus serta guru besar SRJK (Cina) Damansara mendakwa kawasan sekolah itu berhampiran dengan lebuhraya itu dan boleh terdedah kepada pencemaran bunyi dan udara, selain tidak menjamin keselamatan pelajar.

"Kalau lembaga pengurus itu masih tidak setuju dengan kajian JAS, maka (sikap) ini menunjukkan mereka menentang (kajian) jabatan itu," tambahnya, selaku penasihat satu badan bertindak yang dikenali 'Jawatankuasa Mempertahankan Sekolah Asal dan Memohon Sekolah Kedua.'

Menurut Ronnie lagi, jawatankuasa itu turut merancang untuk mengadakan majlis penerangan di seluruh negara berhubung isu berkenaan.

Semalam, jawatankuasa itu menganjurkan satu majlis forum di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di ibu negara dan ia turut dihadiri oleh timbalan pengerusi gabungan persatuan-persatuan pendidikan Cina, Dong Zong, Yap Sim Kiat.

Ibu bapa pelajar-pelajar sekolah itu bercadang meneruskan perhimpunan setiap hari di depan bangunan kementerian sehingga berjaya bertemu Menteri Pendidikan Tan Sri Musa Mohamad untuk mendapatkan kebenaran sekolah itu dibuka semula.

"Kami tetap akan berjuang sehingga kami mendapat kunci untuk membuka sekolah itu kembali," kata Ronnie.

Semalam, kira-kira 100 penduduk Kampung Baru Damansara dan ibubapa kepada 67 murid yang enggan berpindah ke SRJK (C) Puay Chai 2 berkumpul di depan bangunan kementerian.

Menurut laporan akhbar hari ini, Kementerian Pendidikan akan memberhentikan murid-murid itu jika ibu bapa tidak mendaftarkan mereka di sekolah baru dalam tempoh 60 hari .

"Kami akan cuba berjuang (dalam tempoh itu) dan kalau gagal, kami akan cari penyelesaian lain yang terbaik untuk anak-anak kami," kata Ronnie.

Bagaimanapun beliau tidak bersedia menjelaskan penyelesaian tersebut.