Sebuah lagi bahagian Umno di Wilayah Persekutuan - Bandar Tun Razak - akan mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) pada 1 Mei bagi membincangkan usul mengenai sistem kuota dalam pemilihan parti Disember ini.

Ketua penerangan Umno bahagian itu, Hamzah Abdul Wahab berkata keputusan itu dipersetujui oleh lebih dua pertiga anggota jawatankuasa bahagian dalam mesyuarat khasnya semalam.

"Persidangan dibuat atas dasar tanggungjawab kepimpinan Umno bahagian Bandar Tun Razak bagi mendapatkan pandangan ahli di peringkat akar umbi yang rata-rata mahukan perubahan tentang tatacara pemilihan itu," katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Hamzah berkata notis untuk mengadakan persidangan itu telahpun dikeluarkan kepada 60 cawangan dalam bahagian itu dan dijangka 350 orang perwakilan akan hadir.

Sebelum ini Umno bahagian Cheras menetapkan 27 April bagi mengadakan EGM bahagian itu.

Umno bahagian Pasir Mas pula akan mengadakan mesyuarat yang sama 3 Mei ini bagi mendapatkan keputusan untuk mengurangkan kuota sistem pencalonan kepada lima peratus berbanding 30 sekarang ini.