Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Pahang dan jabatan perhutanan negeri didakwa gagal membayar pampasan lebih RM37 juta kepada sebuah syarikat walaupun ia telah diarahkan oleh mahkamah tinggi Kuantan.

Laporan itu dibuat seorang kontraktor Mohd Roshdy Abdul Wahab di balai polis Jalan Tun HS Lee, Kuala Lumpur pada hari Ahad.

Dalam laporannya, beliau menyatakan kerajaan Pahang dan jabatan perhutanan negeri diarah membayar ganti rugi RM37,127,471.60 bersama faedah 8 peratus setahun kepada Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd mulai 2000.

Arahan itu dikeluarkan mahkamah pada 6 November tahun lalu dan ia memberikan tempoh selama tiga bulan - mulai 7 Januari hingga 6 April lalu - untuk membuat pembayaran itu akibat tidak memperbaharui lesen pembalakan kepada syarikat tersebut lapan tahun lepas.

Mohd Roshdy, dalam laporannya itu berkata, beliau meminta polis menyiasat kes tersebut tanpa memberi sebarang keistimewaan atau perlindungan walau yang dilaporkan itu melibatkan kerajaan negeri.

Bercakap dalam sidang media di luar perkarangan ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi hari ini, pengarah syarikat itu Syed Ali Baharuddin Syed Osman berkata, beliau kecewa dengan tindakan Pahang yang masih belum membayar wang tersebut.

"Saya mahu pihak polis menjalankan siasatan ke atas kes ini, ia secara jelas menunjukkan kerajaan negeri Pahang menghina mahkamah.

"Saya selaku pemilik syarikat mahu mendapatkan keadilan supaya ia juga tidak berlaku kepada syarikat lain," katanya.

Kerajaan negeri melalui jabatan perhutanan telah didapati bertindak secara tidak sah oleh mahkamah apabila enggan memberi semula lesen kepada Seruan Gemilang Makmur untuk menjalankan pembalakan di atas kawasan konsensi seluas 10,000 hektar di mukim Bebar, Pekan.

Tarikh akhir untuk membayar pampasan tersebut ialah pada 6 April.

Sementara itu naib ketua angkatan muda PKR (AMK) Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, yang hadir sama dalam sidang media tersebut, berkata menteri besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakub telah menyalahgunakan kuasa mentadbir negeri Pahang.

Katanya, kegagalan membayar pampasan tersebut sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah membuktikan sikap tidak peduli beliau.

ADS