Ganti kuasa: Hisham jumpa akar umbi
Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan turun padang mulai esok, untuk mendengar pandangan akar umbi pergerakan itu, khususnya mengenai proses peralihan kuasa dalam parti.
Perjumpaan pertamannya ialah dengan Pemuda Umno Kedah di Bangunan Tunku, Alor Star pagi esok.
Kedah jatuh ke tangan barisan pembangkang yang memenangi 21 daripada 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.
"Pandangan daripada akar umbi ini akan dibawa ke pengetahuan presiden parti dan timbalannya. Saya percaya itulah kaedah terbaik untuk mereka membincangkan balik proses peralihan yang sempurna, tertib dan bersopan," katanya.
Menurutnya, desakan sesetengah pihak agar perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan sebagai pemimpin Umno, tidak akan mencacatkan proses peralihan kuasa kepada timbalan presiden parti.
Bernama memetik beliau sebagai berkata, ia seperti juga dalam konteks pilihanraya umum, meluahkan pandangan dan mengetengahkan cadangan merupakan proses biasa yang bukan sahaja harus dilaksanakan tetapi perlu dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur agar perubahan yang wajar dapat dilakukan.
"Inilah proses yang kita lalui sekarang untuk muhasabah diri dan mendengar apa yang diperlukan untuk kita menyesuaikan perjuangan parti dan perubahan dalam parti mengikut cita rasa orang ramai dan juga ahli-ahli kita di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita di ibu negara semalam.
Hishammuddin berkata, desakan sedemikian sudah menjadi lumrah dalam dunia politik walaupun Abdullah telah mengumumkan bahawa peralihan kuasa akan berlaku dengan menamakan timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga timbalan presiden parti itu sebagai pengganti.
Bagaimana pun, katanya, "desak-mendesak" penggantian pucuk pimpinan bukan amalan dan budaya Umno.
Hishammuddin akan mengadakan perjumpaan kedua dengan Pemuda Pulau Pinang pada jam 2.30 petang.
Pulau Pinang juga jatuh ke tangan pembangkang yang berjaya memenangi 29 daripada 40 kerusi DUN.

