Setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, Umno bahagian Muar boleh mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) kerana menepati peraturan dan perlembagaan parti.

Tengku Adnan memaklumkan sedemikian kepada enam ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian itu yang menemuinya di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pagi tadi.

Perkara ini disahkan oleh Hassan Sulaiman Ninam Shah, yang turut serta cdalam pertemuan dengan Tengku Adnan.

"Tengku Adnan memberitahu rombongan AJK bahagian Muar bahawa bahagian mematuhi peraturan untuk mengadakan EGM.

"Tengku Adnan akan memberikan penjelasan kepada timbalan presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak mengenai perkara tersebut," kata Hassan kepada Malaysiakini.

Selepas itu, katanya, Tengku Adnan akan memaklumkan tarikh EGM bahagian Muar akan diadakan.

Hassan bersama lima AJK Muar menemui ahli parlimen Putrajaya itu selama kira-kira dua jam mulai 11.30 pagi.

Hassan membangkitkan isu kegagalan Umno bahagiannya mengadakan EGM seperti yang diminta oleh majoriti AJK bahagian tersebut.

"Tengku Adnan berkata, bahagian Muar telah menepati peraturan dan perlembagaan parti dalam proses mengadakan EGM," katanya.

Semalam ketua bahagian itu Datuk Mohd Shah Ismail menyatakan ia tidak boleh mengadakan EGM kerana kurang korum.

Pada mulanya, kata beliau, pihaknya menerima surat yang menyatakan 24 daripada 36 AJK bahagian mahu ia diadakan.

Bagaimanapun, katanya, dalam tempoh 14 hari selepas menerima surat daripada kumpulan tersebut, yang dihantar pada 1 April, beberapa orang telah menarik diri.

"Ini bermakna korum tidak cukup daripada yang diperlukan iaitu seramai 23 orang AJK," katanya kepada Malaysiakini .

Mohd Shah berkata, mereka yang menarik diri itu mendakwa telah dibayar oleh kumpulan tertentu untuk menyokong EGM tersebut diadakan.

Hassan semalam menafikan mereka dibayar.