Bukan presiden tentukan peralihan kuasa...
Seorang exco Pemuda Umno hari ini menegaskan bahawa menurut perlembagaan parti, peralihan kuasa bukan ditentukan oleh presiden tetapi ditentukan oleh parti keseluruhannya.
Exco berkenaan, Kamarulzaman Kamdias berkata jawatan presiden bukan sesuatu yang diwarisi turun temurun.
Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan mandat demokrasi yang perlu diberikan kepada ahli-ahli melalui pemilihan parti.
Beliau yang juga timbalan pengerusi biro keahlian dan daftar pemilih pergerakan tersebut menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya semalam.
Kamarulzaman berkata kini terdapat gesaan dari ahli-ahli parti supaya presiden membentangkan 'pelan peralihan kuasa'.
"Setiap hari wujud interpretasi yang berbeza mengenai apakah pelan tersebut. Saya merasakan bahawa bercakap mengenai 'pelan peralihan kuasa' telah memesong kita daripada isu utama, iaitu mengenai kepimpinan.
"Kita sedang bercakap berpusing-pusing dan mengelirukan. Sebaliknya, mereka yang mahu Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan segera jawatan presiden parti hendaklah bercakap secara berterus terang.
"Begitu juga jika beliau (Abdullah) mahu memegang jawatan itu hingga tahun 2010 atau 2012, beliau juga mesti menyatakannya secara berterus terang. Beliau boleh bertanding jawatan presiden Disember ini seperti mana sesiapa juga yang dicalonkan," tambahnya.
Menurut, perlembagaan Umno menyediakan pemilihan parti yang teratur dan demokratik untuk memperbaharui pucuk pimpinan setiap tiga tahun.
"Pemilihan parti telah ditangguhkan lebih setahun. Ahli-ahli parti - bukan segelintir golongan elit - yang kini perlu memutuskan siapa harus kekal dan siapa yang harus beredar," tambahnya.

