Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peralihan kuasa elak saingan sengit
Diterbitkan:  Apr 22, 2008 3:16 PM
Dikemaskini: 5:38 PM

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo berkata pelan peralihan kuasa yang dikemukakan lebih awal akan dapat mengelak pertandingan sengit sehingga memecahbelahkan parti itu dalam perhimpunan agung Disember depan.

"Jika ada pihak mengatakan (menyegerakan peralihan kuasa) ini merupakan satu desakan daripada saya, terpulanglah kepada pemahaman masing-masing," kata bekas menteri besar Selangor itu dalam catatan terbaru dalam blognya semalam.

khir toyo 181207 Dr Mohd Khir, yang baru pulang daripada mengerjakan ibadat umrah berkata, beliau cuma menyampaikan suara akar umbi yang menyatakan pandangan mereka kepadanya.

"Saya fikir pandangan-pandangan ini amat relevan dan saya bertanggungjawab untuk menyampaikannya kepada kepimpinan parti dan negara," katanya.

Kelmarin, pengerusi badan perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata sebarang pandangan Dr Mohd Khir mengenai peralihan kuasa sekadar pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian Umno negeri.

Menurut Dr Mohd Khir lagi, selain pandangan ahli Umno yang berjumlah lebih tiga juta orang, "pandangan orang Melayu seramai 16 juta juga perlu diambil kira bagi memastikan Umno terus relevan".

Sebab itulah, tambahnya, dalam catatan pertamanya mengenai peralihan kuasa, beliau menegaskan bahawa Umno, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan harus mencari satu formula baru bagi memastikan ia terus relevan kepada orang Melayu, Cina dan India serta kaum-kaum lain di Malaysia.

Hak perdana menteri

"Semua ini, sama ada cakap-cakap mengenai perubahan kepimpinan mahupun perubahan pendekatan dalam kerajaan dan parti, bertujuan mengukuhkan Umno sebagai parti yang menjadi tonggak BN juga kepimpinan negara," tambahnya.

Dr Mohd Khir juga menjelaskan bahawa dua catatan terakhir beliau mengenai peralihan kuasa mendapat pelbagai respons.

najib abdullah umno 100408 "Apa yang saya cuba tulis ialah satu analisis senario politik semasa mengikut pandangan dan pemerhatian sebagai seorang Ahli Majlis Tertinggi Umno.

"Tujuan saya ialah supaya pimpinan tertinggi Umno dapat memikirkan secara positif isu pergelutan politik ini dan mengambil langkah- langkah proaktif. Sekurang-kurangnya bagaimana untuk mengelak perkara tersebut daripada menjadi kenyataan," tambanya.

Untuk melaksanakan peralihan kuasa, tegasnya, sama ada sekarang, akan datang atau pun tiada peralihan langsung, adalah hak perdana menteri.

"Saya hanya merayu agar satu exit plan (rancangan berundur) dikemukakan segera. (Pelan) ini juga selari dengan pengakuan Pak Lah sendiri kepada Umno Johor untuk mengadakan peralihan kuasa.

"Selain itu, ahli-ahli Umno juga mempunyai kuasa dan hak menentukan kedudukan kepimpinan parti.

"Saya hanya berharap jika ada exit plan dikemukakan awal, maka tiada satu pertandingan yang terlalu sengit sehingga memecahbelahkan parti akan berlaku dalam perhimpunan agung Umno akan datang," tambahnya.

Parti itu memulakan proses pemilihan di peringkat cawangan pada 17 Julai-24 Ogos, diikuti bahagian pada 9 Oktober-19 November sebelum pemilihan agung Umno pada 16-20 Disember.

ADS