Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor mengangkat sumpah hari ini, kecuali tahanan ISA, M Manoharan - Adun Kota Alam Shah.

Speaker Dewan Undangan Negeri, Teng Chang Khim berkata upacara mengangkat sumpah bagi Manoharan akan diatur secepat mungkin.

Menurutnya, ia akan diadakan dalam tempoh enam bulan dari tempoh seseorang itu dipilih sebagai wakil rakyat dalam pilihanraya.

m manoharan Manoharan, yang mewakili DAP menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Sekiranya Manoharan tidak mengangkat sumpah dalam tempoh tersebut, kerusinya akan dikosongkan dan pilihanraya kecil perlu diadakan.

"Saya akan aturkan tetapi belum tahu masanya. Kini sudah sebulan setengah berlalu.

"Jadi saya mengikut peraturan tetap dalam Dewan yang tidak menetapkan angkat sumpah itu dijalankan dalam dewan," katanya.

Sebelum ini, dua calon DAP yang ditahan di bawah ISA - Chan Kok Kit yang menang kerusi parlimen Sungai Besi dan Chian Heng Kai (Batu Gajah) dalam pilihanrayA 1978 - mengangkat sumpah dalam kem tahanan.

Manoharan serta empat lagi pemimpin Hindraf - P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan di Kem Tahanan Kamunting.

Semuanya ditahan pada 13 Disember selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu serta membuat kenyataan yang berunsur hasutan terhadap kerajaan.