Michael Chen sertai JK siasat 'perisik'
Majlis presiden hari ini sebulat suara melantik Tan Sri Michael Chen sebagai anggota sebuah panel jawatankuasa siasatan bebas untuk menyiasat isu 'kumpulan perisik' MCA.
Beliau akan menggantikan Teh Hock Kee yang sebelum ini menolak pelantikan tersebut atas sebab-sebab peribadi.
Jawatankuasa siasatan bebas itu melaporkan terus kepada majlis presiden, demikian menurut satu kenyataan hari ini.
Michael merupakan seorang bekas ahli parlimen dan tokoh veteran MCA. Beliau pernah menyandang jawatan timbalan presiden MCA.
Sebelum ini, beberapa pemimpin MCA mendakwa mereka menjadi sasaran kumpulan perisik parti itu yang memantau tokoh-tokoh yang dianggap bermusuh dengan kepimpinan tertinggi parti.
Seorang daripada mereka yang mendakwa menjadi sasaran kumpulan perisik itu ialah naib presiden MCA, Datuk Donald Lim yang gagal mempertahankan kerusi parlimen Petaling Jaya Selatan dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.
Sebelum ini beliau dilaporkan mengakui pernah diberitahu tentang kegiatan itu tetapi sehingga kini masih di peringkat pengesahan tentang kewujudannya.
Kenyataan Lim ini muncul sewaktu wujud rungutan dalam kalangan beberapa tokoh parti itu tentang kewujudan pasukan pengintip tersebut.
Mereka mendakwa ia dibentuk tiga tahun lalu, dan antara mangsanya ialah bekas menteri kesihatan dan naib presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Dr Chua melepaskan jawatan dalam parti itu serta jawatan menteri kesihatan awal tahun ini selepas pita video seks yang membabitkan beliau, diedarkan kepada umum Disember lalu.

