BERITA

GMI dakwa tahanan ISA dipindahkan

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Apr 2008, 6:22 pagi

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mendakwa bahawa tahanan ISA yang sudah berada di Kem Tahanan Kamunting (KEMTA) telah dibawa ke Kuala Lumpur dengan sewenang-wenangnya.

"Tahanan disyaki dikurung di pusat reman polis (PRC) di sekitar Kuala Lumpur tanpa sebab-sebab yang jelas," kata Setiausaha GMI, Nalini E dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mengikut sumber maklumat yang diperolehi dari peguam tahanan, lapan orang tahanan telah dibawa ke PRC untuk tempoh seminggu, bermula 19 April hingga 27 April, tanpa sebab-sebab yang jelas.

"Malah, menurut sumber berkenaan, tahanan kemungkinan dibawa ke Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak Kuala Lumpur.

"Apa yang menghairankan ialah keluarga dan isteri tahanan tidak tahu menahu tentang perkara ini.

"Sudah hampir seminggu mereka dibawa ke PRC, namun isteri-isteri mereka tidak diberitahu tentang ketiadaan mereka di KEMTA," katanya sambil menambah lapan tahana terbabit telah ditahan di bawah ISA selama hampir atau lebih enam tahun.

Empat tuntutan

Lebih penting lagi, tegasnya, GMI bimbang tahanan sekali lagi didera secara mental dan fizikal semasa dalam PRC di mana mereka tiada akses kepada keluar gan peguam masing-masing.

"Dalam keadaan ini, hak keluarga tahanan untuk melawat tahanan sekali setiap minggu, juga telah dirampas kerana mereka tidak tahu di mana untuk melawat suami mereka," tambahnya.

Oleh itu, kata Nalini, GMI membuat tuntutan berikut:

bullet button Penjelasan dari pihak polis dan kerajaan kenapa tahanan tersebut dipindah keluar dari KEMTA ke PTC di Kuala Lumpur.

bullet button Suhakam perlu membuat lawatan segera dan melawat tahanan itu untuk memastikan mereka berada dalam keadaan baik, sihat dan tidak didera secara mental dan fizikal.

bullet button Kerajaan perlu menyiasat segera tujuan sebenar tahanan tersebut dipindahkan dari KEMTA ke PRC di Kuala Lumpur dan mengumumkan laporan siasatan.

bullet button Pihak Kem Kemunting perlu memastikan keluarga tahanan diberitahu setiap kali tahanan dipindah keluar dari KEMTA dan ke mana mereka dipindahkan.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.