Satu laporan polis dibuat bagi membantah kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Pengerusi DAP Karpal Singh mengenai hak ketuanan Melayu.

Laporan itu dibuat oleh sekumpulan 100 orang penduduk yang berkata mewakili kaum Melayu di Pasir Mas Kelantan, yang menyifatkan kenyataan Karpal dan Ka Ting sebagai menghasut dan berbahaya.

Laporan tersebut dibuat oleh wakil mereka, Suharto Mat Nasir di ibupejabat polis daerah Pasir Mas jam 10.15 pagi tadi.

Ketika ditemui, Suharto berkata, dalam laporan tersebut mereka meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap dua pemimpin parti politik itu kerana mengeluarkan kenyataan yang mempertikaikan titah ucapan Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra di Kuala Lumpur baru-baru ini mengenai hak ketuanan Melayu di negara ini.

Menurut laporan Bernama, Suharto meminta kedua-dua pemimpin itu memohon maaf secara terbuka kepada Tengku Muhammad Faris.

"Kami sebagai orang Melayu merasa terhiris dengan kenyataan pemimpin politikitu dan kami tetap mempertahankan kedaulatan Raja Melayu dan menyokong TengkuMahkota Kelantan," katanya.