Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu wang Balkis RM10 juta ke DUN S'gor
Diterbitkan:  Apr 25, 2008 5:27 PM
Dikemaskini: 3:30 PM

Wang kira-kira RM9.9 juta milik Badan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis), yang dilapor dipindahkan ke satu akaun lain, akan dibawa ke sidang Dewan Undangan Negeri bulan depan.

Yang dipertua badan itu Zaharah Kechik, yang juga isteri Dr Mohamad Khir Toyo, memanggil mesyuarat tergempar Balkis pada 11 Mac - tiga hari selepas pilihanraya umum ke-12 - untuk membubarkannya dan menutup akaunnya sehari kemudian.

Wang sebanyak itu kemudian disalurkan ke sebuah akaun lain sebelum sampai kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti), sebuah gabungan badan-badan amal isteri wakil rakyat BN di peringkat negeri-negeri.

Percubaan membubarkan Balkis melalui Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 13 Mac bagaimanapun berjaya dihalang menteri besar baru Selangor, lapor The Sun hari ini.

Mengulas kontroversi tersebut, wakil rakyat Kampung Tunku, Lau Weng San, mempersoalkan cara bekas menteri besar itu menjelaskan isu tersebut.

"Saya berasa ganjil dan aneh apabila skandal yang melibatkan pemindahan dana itu ... dijawab dengan tanpa segan silu oleh Dr Mohamad Khir," katanya.

"Kemusykilan pertama, mengapakah pengerusi Balkis, Zaharah Kechik sendiri tidak menjelaskan perkara ini apabila ia dilaporkan sebagai berita muka pertama oleh akhbar harian bahasa Inggeris, The Sun ?"

Lau, yang juga setiausaha DAP negeri, turut mempertikaikan jawaban Dr Mohamad Khir, juga wakil Sungai Panjang, bahawa pembubaran Baklis "sah di sisi undang-undang".

"Bagaimana Dr Mohamad Khir dapat mengatakan bahawa pembubaran Balkis adalah sah di sisi undang-undang apabila mesyuarat agung tergempar yang diadakan pada 11 Mac telah membuat keputusan ini sedangkan barisan exco Balkis pada hari itu seharusnya membincangkan pemindahan kuasa dan aset Balkis kepada barisan Exco yang baru?" katanya.

Lau juga berkata, wang Balkis itu tidak seharusnya dipindahkan kepada Bakti kerana perlembagaan Balkis menyatakan wang RM9.9 juta itu sepatutnya disalurkan kepada kerajaan atau tabung yang didirikan oleh kerajaan dengan kelulusan daripada ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

"Lebih-lebih lagi sebahagian dana ini merupakan wang derma daripada kerajaan negeri Selangor," katanya.

Sementara itu menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri - kini ditadbir Pakatan Rakyat - menghalang badan itu dibubarkan dan notisnya telah dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Kerajaan negeri telah menghantar surat kepada ROS agar tidak meluluskan permohonan pembubaran Balkis sehingga jumlah sumbangan semua anak syarikat kerajaan negeri Selangor dikenal pasti dan siasatan menyeluruh terhadap tindakan Balkis membuat permohonan pembubarkan (kepada ROS pada 13 Mac) serta pemindahan aset-aset Balkis," katanya dalam satu kenyataan semalam.

"Kerajaan negeri dan anak-anak syarikat kerajaan negeri dijangka membuat tuntutan dalam masa terdekat terhadap segala sumbangan yang diberikan memandangkan Balkis bertindak sebagai pemegang amanah kepada kerajaan negeri Selangor untuk tujuan amal kebajikan dan mengambil wang daripada anak-anak syarikat kerajaan negeri."

Selain Zaharah, menurut kenyataan pejabat menteri besar Selangor lagi, pemimpin-pemimpin utama Balkis termasuklah Rahimah Naim sebagai naib yang dipertua, Pon Ishak (setiausaha) dan Surami Sapuan (bendahari).

Exco Balkis dianggotai enam ahli jawatankuasa.

ADS